Seramai lebih 30 orang selebriti dan pempengaruh serta ahli media dari Malaysia diterbangkan ke Korea Selatan untuk Sukan Olimpik. Tapi bukan mewakili Malaysia sebagai atlet, namun rombongan yang berangkat pada 13 Januari yang lalu ini berpeluang menyaksikan sendiri acara pembukaan Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk 2024 di Wilayah Gangwon. Ia terletak kira-kira 160 km dari Bandaraya Seoul ke timur pada 19 Januari 2023.
Rombongan eksklusif dari AAX (AirAsia X) dan Korea Tourism Organization dengan kerjasama Gangwon State ini turut membawa rombongan meneroka musim sejuk yang menakjubkan di wilayah timur laut Korea Selatan itu selama 8 hari. Antara tempat menarik yang dikunjungi seperti, Nami Island, Samaksan Cable Car, Hwacheon Sancheoneo Ice Festival, Alpaca World , Oak Valley Ski dan banyak lagi.
Antara selebriti yang turut serta dalam rombongan ini seperti pengacara dan pelakon Hawa Rizwana, 29, pelakon Harris Annuar, 31, pengulas sukan Astro Arena, Lily Hamzah. Turut serta pempengaruh yang popular dalam vlog travel seperti Aliff Imran dan Shafickza yang memiliki lebih 300 ribu pengikut di laman TikTok.
Acara pembukaan, dengan tema “Membesar Bersama, Bersinar Selamanya” diadakan serentak bermula jam 8 malam di Gangneung Oval, arena luncur laju, dan Pyeongchang Dome dengan kira-kira 13 ribu penonton.
Di PyeongChang Dome, salah satu momen paling ditunggu-tunggu adalah penampilan memukau penyanyi Korea terkenal, Kim Tae-yeon, Hwasa, BewhY, penari dari 1MILLION Dance Studio, dan HORI7ON .
Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk 2024 di Gangwon
Seramai 1,800 atlet dari sejumlah 79 negara akan bersaing dalam 15 acara, termasuk ski alpen, biathlon, curling, dan skeleton, di empat bandar dan daerah di Wilayah Gangwon, termasuk wilayah Gangneung, Pyeongchang, Jeongseon dan Hoengseong.
Ini adalah kali pertama Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk diadakan di luar Eropah sejak Sukan sulung pada 2012, dengan Innsbruck di Austria, Lillehammer di Norway dan Lausanne di Switzerland menjadi tuan rumah festival sukan itu.
Sukan Olimpik Remaja ialah acara pelbagai sukan untuk atlet berumur 15 hingga 18 tahun yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa sekali setiap empat tahun dalam format musim sejuk dan musim panas selaras dengan format Sukan Olimpik semasa.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.