Zamarul Hisham, seorang aktor veteran yang telah tiga dekad menghiasi industri seni tanah air, baru-baru ini berkongsi pengalamannya menerima mesej langsung (DM) daripada peminat wanita, meskipun statusnya sebagai seorang suami dan bapa diketahui ramai.
Walaupun pelik dengan situasi tersebut, Zamarul memilih untuk mengabaikan mesej yang dirasakan tidak perlu.
“Saya memang dapat banyak mesej, tapi tak suka balas. Sampaikan mesej berkaitan kerja pun saya tak perasaan,” ujar Zamarul.
Sikap profesional ini disokong penuh oleh isterinya, Diana Rafar, yang sering membantu membalas mesej berkaitan kerja.
Pasangan ini mengamalkan keterbukaan dalam hubungan mereka, dengan Diana mengetahui kata laluan telefon bimbit dan akaun bank Zamarul. Ini mencerminkan kepercayaan penuh antara mereka berdua.
Pada awal pembabitannya dalam dunia lakonan, Zamarul mengakui pernah menjadi seorang yang ligat dan digilai ramai wanita.
Namun, seiring dengan peningkatan popularitinya sebagai pelakon, beliau mula menyedari kepentingan menjaga perilaku dan menjauhkan diri daripada godaan.
“Sebelum menjadi pelakon, saya mengaku seorang ‘playboy’. Saya bawa motosikal jenis RXZ waktu itu, jadi ramailah wanita yang nak menghimpit. Namun, saya mula tersedar ada yang tak kena dan kena jaga perangai kerana orang sudah mulai kenal bila bergelar pelakon,” katanya.
Zamarul melihat ini sebagai satu peringatan daripada Allah untuk melindunginya daripada terus hanyut dalam godaan duniawi.
Zamarul juga tidak menafikan kewujudan ‘cinta lokasi’ dalam industri, di mana hubungan romantis terjalin antara pelakon yang sudah berkahwin dengan yang masih bujang.
Namun, beliau menekankan bahawa ia bergantung sepenuhnya kepada individu tersebut untuk mengelakkan terjebak dalam situasi sebegini.
Zamarul mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Diana Rafar pada tahun 2009. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Kashfi Haikal, 14, Kayla Reysha, 7, dan Kaydeen Haiqal, 4 tahun. Selain itu, Zamarul juga mempunyai dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.