Baru sahaja pulang dari Tanah Suci Mekah selepas mengerjakan ibadah umrah, pelakon sensasi Eyka Farhana kembali mencetuskan kontroversi apabila dilihat berpakaian seksi semasa menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini.
Eyka, atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 29, yang sebelum ini berkongsi keindahan ibadah umrah dengan imej berjubah dan bertudung litup, hanya selesa mengenakan busana minimalis yang menampakkan bahagian pahanya ketika menonton pertunjukan fesyen rekaan Alia Bustaman.
Tindakan Eyka yang seolah-olah tidak menunjukkan perubahan dalam cara berpakaian walaupun sudah menunaikan umrah, menerima kecaman hebat daripada netizen.
“Pergi umrah bertutup litup, balik umrah pakai skirt pendek. Kadang-kadang rasa artis pergi umrah sekadar untuk bercuti,” komen seorang netizen.
“Sekurang-kurangnya dalam sebulan dua ini pakailah pakaian yang sopan sedikit,” ujar seorang lagi netizen yang kecewa dengan penampilan Eyka.
Selain terkenal dalam bidang lakonan, Eyka juga merupakan seorang pempengaruh dalam dunia fesyen dan kecantikan. Wajahnya sering menghiasi kempen-kempen jenama antarabangsa dan dia sememangnya sinonim dengan imej seksi.
Eyka turut dilihat berjalan di atas pentas KLFW sebagai ‘muse’ untuk jenama produk kecantikan L’Oreal Paris, menambah lagi kontroversi terhadap penampilannya.
Pada pertengahan Julai lalu, Eyka bersama beberapa rakan selebriti termasuk Bella Astillah dan Ezaidi Aziz telah berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah.
Ketiga-tiga mereka terlibat dalam penggambaran drama terbaru berjudul Satu Hari Nanti yang kini sedang menjalani penggambaran.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.