Ikon nasyid popular tanah air, komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun sekali lagi tampil dengan album studio terbaharunya berjudul “Haramain” yang diinspirasikan dari perjalanan spiritual ke dua kota terpenting bagi umat Islam iaitu Mekah dan Madinah, hasil kolaboratif kreatif bersama barisan penulis lirik berpengalaman, ITO Lara, Fedtri Yahya dan Hafiz sendiri, dan diterbitkan oleh label rakaman tidak asing lagi, Sony Music Malaysia.
“Kunjungan ke Tanah Suci banyak memberi inspirasi dalam penghasilan album studio ini. Saya rasakan, ini merupakan detik yang terbaik untuk saya menghasilkan lagu-lagu yang bersesuaian bagi membangkitkan rasa kerinduan dan keinginan untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah,” kongsi Hafiz yang kini merupakan Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaanya yang aktif dengan kerja-kerja amal
Selain Malaysia, Hafiz menerangkan proses rakaman turut dilakukan di luar negara bagi mendapatkan sentuhan asli muzik Timur Tengah seperti Turki yang sering dikunjunginya.
“Seperti biasa, saya akan terbang ke Istanbul untuk merakamkan beberapa elemen muzik di sana khususnya untuk instrumen muzik seperti ‘strings’, klarinet, Baglama (gambus Turki), perkusi (genderang) dan lain-lain,” kata Hafiz.
Secara keseluruhan, album Haramain adalah berkonsepkan pop nasyid yang pelbagai dengan sentuhan muzik Timur Tengah dari Turki, Arab Saudi dan Mesir yang disulam dengan elemen melodi akustik moden yang terancang untuk menonjolkan keaslian dan keindahan liriknya.
Selain album, video muzik (MV) lagu-lagu dalam album Haramain banyak menampilkan paparan keindahan Mekah dan Madinah dengan elemen spiritual secara sinematik yang memberi pengalaman visual mendalam buat penonton.
Hafiz berharap agar album Haramain ini dapat menjadi teman spiritual buat pendengar selain kini sedang dalam proses menyiapkan terjemahan bagi lagu-lagu album Haramain yang dirakamkan semula ke dalam Bahasa Inggeris, Arab, Arab, Urdu, dan berkemungkinan Mandarin.
“Semoga lagu-lagu dalam album ini membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT lantas mencetus rasa syukur atas nikmat iman. Insya-Allah, saya juga merancang untuk
menghasilkan album kesinambungannya yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa.Kini, saya sedang dalam proses menyiapkan terjemahan bagi lagu-lagu album Haramain, yang dirakamkan semula ke dalam Bahasa Inggeris, Arab, Urdu dan berkemungkinan Mandarin.
Doakan yang baik-baik agar usaha dakwah melalui muzik ini dapat berkembang.
Album “Haramain” boleh dimuat turun melalui semua aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan juga YouTube Music.
Manakala MV single Album Haramain boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube HafizHamidun.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.