Bukan mudah membina jenama sendiri sehingga dikenali ramai, apatah lagi dalam industri kosmetik yang penuh persaingan. Namun, bagi usahawan dan pempengaruh popular, Anas Zahrin, perjalanan ANAS Cosmetics sejak 2017 membuktikan bahawa usaha dan keberanian mencuba mampu membawa hasil yang membanggakan.
Ketika bertemu Anas untuk sesi eksklusif bersama MURAI, anak jati Kota Tinggi, Johor itu berkongsi kegembiraannya apabila jenama yang dibangunkan hampir sedekad lalu terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna Malaysia.
Menurut laporan Echotik Blog bertarikh 8 Julai lalu, ANAS Cosmetics disenaraikan di kedudukan nombor satu TikTok Shop Malaysia dengan jualan hampir 12 juta unit.
Bagi Anas, kejayaan itu bukan alasan untuk berbangga diri, sebaliknya membuktikan kemampuan produk tempatan bersaing dengan jenama antarabangsa.
“Menjadi yang pertama di TikTok Shop itu bukan tiket untuk saya mendabik dada. Sebaliknya, pencapaian itu menjadi kayu pengukur bahawa memang ada produk keluaran tempatan atau Bumiputera yang boleh diterima ramai,” katanya.
Pernah Diperlekeh, Kini Jadi Inspirasi
Mengimbas kembali perjalanan perniagaannya, Anas mengakui bukan semua orang yakin apabila dia memilih TikTok sebagai platform untuk menjual produknya.
“Dulu pada awalnya tiada siapa yang percaya, malah ada yang sinis ketawa memandang rendah saat saya menjadikan platform TikTok untuk berniaga.
“Akhirnya, saya berjaya buktikan bahawa platform ini juga boleh menjadi medan magnet rezeki untuk saya kongsi dengan semua pihak,” ujarnya.
Lebih menarik, Anas mendedahkan bahawa dia pernah mencapai jualan RM1 juta dalam satu sesi penstriman langsung di TikTok.
ANAS Cosmetics turut menerima pengiktirafan TikTok Shop 2026, termasuk Top 1 Pencipta Kandungan dan Top 1 Penjual Tempatan. Anas sendiri pernah memenangi anugerah TikTok Shop Creator of The Year pada 2023.
Doa Ibu Jadi Kekuatan
Di sebalik kejayaan itu, Anas tidak melupakan sokongan keluarga, khususnya ibunya, Hajjah Hamida Dan, yang sentiasa mendoakan perjalanan perniagaannya.
“Bukan saya yang hebat, tetapi doa mustajab mak yang tak pernah penat dipanjangkan,” katanya.
Anas turut dilantik sebagai mentor menerusi program TikTok Shop Creator Icon musim kedua, bersama nama besar seperti Khairul Aming.
Bagi MURAI, perjalanan Anas membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan sokongan semua orang. Kadangkala, keberanian untuk mencuba ketika orang lain meragui kemampuan kita menjadi langkah pertama menuju kejayaan. Lebih bermakna apabila kejayaan itu turut membuka peluang kepada orang lain untuk berkembang bersama.














