Dengan sekali lafaz, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, pada pagi 10 Oktober 2026.
Selepas enam bulan bertunang, pasangan ini akhirnya disatukan dalam sebuah majlis akad nikah yang cukup istimewa. MURAI senaraikan lima fakta menarik tentang hari bahagia mereka!
1. Pasangan Pertama Bernikah Di Merdeka 118
Bukan calang-calang lokasi pilihan mereka! Syed Saddiq dan Bella mencipta sejarah sebagai pasangan pertama yang diijabkabulkan di Presint Merdeka 118, tepatnya di aras 118 mercu tanda ikonik negara itu.
2. Mas Kahwin Hanya RM500
Walaupun majlis berlangsung di lokasi eksklusif, Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 kepada Bella sebagai tanda penyatuan mereka. Simple tetapi penuh makna!
3. Hantaran Ada Biasiswa Sarjana, KWSP Dan Pakej Umrah
Antara hantaran pengantin lelaki yang menarik perhatian termasuk biasiswa pengajian sarjana, perlindungan insurans, simpanan KWSP i-Simpan, set gimnasium, pakej umrah serta emas hantaran Gunung Kinabalu.
Bella pula membalas dengan sembilan dulang hantaran, termasuk emas hantaran triatlon dan tiket pertandingan larian ULTRAMAN Australia 2027.
4. Majlis Bertemakan Islamic Arabic Serba Putih
Majlis mereka tampil dengan konsep Islamic Arabic yang elegan dan serba putih. Kedua-dua mempelai mengenakan busana rekaan pereka fesyen Zaimi Zulkafli, manakala majlis dihadiri 255 tetamu jemputan, termasuk beberapa tokoh kenamaan negara.
5. Detik Akad Nikah Disaksikan Rakyat Malaysia
Momen bersejarah ini turut disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform Astro. Malah, perjalanan menuju hari bahagia mereka akan dipaparkan dalam program khas Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104), Astro GO dan Sooka.
Apa pun, MURAI ucapkan tahniah buat Syed Saddiq dan Bella Astillah! Semoga perkahwinan yang dibina ini berkekalan hingga ke syurga.
















