Merancang percutian ke luar negara selepas ini? Ada berita baik buat pengguna CIMB OCTO! Kini, urusan pembayaran ketika melancong menjadi lebih mudah apabila fungsi DuitNow QR diperluaskan ke lima destinasi baharu iaitu China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos.
Menariknya, anda tidak perlu memuat turun aplikasi pembayaran lain atau membuka akaun Alipay+ semata-mata untuk membuat transaksi. Cukup sekadar menggunakan aplikasi CIMB OCTO yang sudah tersedia dalam telefon.
CIMB OCTO Kini Meliputi 9 Negara
Dengan peluasan terbaharu ini, pengguna boleh membuat pembayaran DuitNow QR di premis perniagaan terpilih yang memaparkan logo Alipay+ di sembilan destinasi termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Caranya juga mudah. Buka fungsi DuitNow QR dalam aplikasi OCTO, imbas kod QR peniaga yang mengambil bahagian, semak jumlah pembayaran dan sahkan transaksi. Selesai!
Kemudahan ini diwujudkan menerusi kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) dengan Ant International melalui rangkaian Alipay+.
Menurut CIMB, peluasan ini selari dengan strategi Forward30 untuk menjadikan urusan perbankan lebih mudah, pantas dan lancar, termasuk ketika pelanggan berada di luar negara.
Transaksi QR CIMB Meningkat Lebih 150 Peratus
Bukan sekadar memudahkan pelancong, kemudahan pembayaran rentas sempadan ini turut membuka peluang kepada peniaga tempatan menerima lebih ramai pelanggan antarabangsa.
Setakat September 2026, DuitNow QR melalui OCTO telah merekodkan lebih 500,000 transaksi rentas sempadan, meningkat lebih 150 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jadi, selepas ini anda tidak perlu terlalu bergantung kepada wang tunai ketika melancong. Namun, jangan pula sampai terlupa menyediakan sedikit wang tunai sebagai persediaan kecemasan. Teknologi memudahkan perjalanan, tetapi perancangan kewangan tetap kena ada!












