Nak keluar dating sekarang bukan sekadar fikir nak pakai baju apa atau pergi makan di mana. Dompet pun kena bersedia! Lebih mengejutkan, ada yang sanggup berhutang semata-mata mahu meluangkan masa bersama pasangan.
Laporan Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia oleh LEGASI Research dengan kerjasama Ekonomi Rakyat mendapati 13.2% responden lelaki pernah berhutang untuk dating, berbanding hanya 4.9% responden perempuan.
Dating Di Malaysia: Sekali Keluar Boleh Cecah RM200
Menurut tinjauan tersebut, pusat beli-belah serta kafe dan restoran menjadi lokasi pilihan utama pasangan untuk dating. Makanan dan minuman pula antara perbelanjaan paling lazim.
Lebih separuh responden, iaitu 52.6%, membelanjakan antara RM51 hingga RM200 bagi setiap pertemuan. Kebanyakan mereka juga keluar dating sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Nampak macam jumlah yang biasa, bukan? Tetapi apabila keluar berkali-kali setiap bulan, jumlah itu boleh menjadi komitmen yang agak besar. Belum masuk minyak, tol dan tiket wayang lagi!
Lelaki Lebih Cenderung Tanggung Kos Dating
Menariknya, walaupun pembayaran secara bergilir-gilir paling lazim secara keseluruhan, lelaki masih lebih cenderung menanggung semua perbelanjaan.
Hampir enam daripada 10 responden lelaki (59.3%) mengakui mereka biasanya membayar sendiri. Bagi responden perempuan, angka itu cuma 8.2%.
Tidak hairanlah hampir separuh responden menganggap kos dating sekarang mahal, dengan tekanan kewangan lebih ketara dalam kalangan lelaki.
Menurut Penyelidik Ekonomi LEGASI Research, Firdzan Nur Yassin, dating bukan sekadar aktiviti bersama pasangan, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab kewangan yang berbeza antara lelaki dan perempuan.
Walaupun ramai masih sanggup berbelanja lebih demi hubungan, persoalannya, berbaloi ke sampai perlu berhutang?
Romantik itu penting, tetapi kewangan sendiri pun jangan sampai terabai. Hubungan yang sihat sepatutnya membolehkan kedua-dua pihak berbincang tentang kemampuan masing-masing, bukannya berlumba menunjukkan siapa paling banyak berbelanja.
Laporan penuh boleh dibaca menerusi laman rasmi LEGASI Research.












