Bukan sekadar kecantikan dan penampilan di atas pentas, Kavitha Malathy membuktikan bahawa seorang wanita juga mampu membawa suara masyarakat serta menyampaikan mesej yang bermakna. Wartawan dari Puchong, Selangor itu dinobatkan sebagai Miss Malaysia Indian Global (MMIG) 2026 pada pertandingan edisi ke-27 yang berlangsung baru-baru ini.
Bekerja sebagai wartawan di Varnam.my, sebuah portal berita yang dekat dengan masyarakat India di Malaysia, Kavitha sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan komuniti tersebut menerusi kerjayanya dalam dunia kewartawanan.
Membesar bersama ibu tunggal turut menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya. Berbekalkan keazaman untuk mencapai impian, Kavitha tampil di pentas dengan keyakinan tersendiri. Sari berwarna kuning keemasan menyerlahkan penampilannya, sebelum suasana pentas berubah elegan apabila beliau muncul dalam busana biru.
Miss Malaysia Indian Global 2026: Jawapan Top 5 Tentang Alam Sekitar
Perjalanan Kavitha bukan hanya tentang penampilan. Ketika berjaya mara ke kelompok Top 5, beliau ditanya apakah tabiat rakyat Malaysia yang ingin diubah bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.
Jawapannya cukup dekat dengan kehidupan seharian, iaitu menggalakkan rakyat Malaysia membawa bekas makanan sendiri ketika membeli makanan atau membawa bekal dari rumah.
Menurut Kavitha, amalan menggunakan bekas makanan seperti Tupperware boleh membantu mengurangkan penggunaan plastik dan polisterin.
Cadangan itu mungkin nampak mudah, tetapi bayangkan jika lebih ramai mula membawa bekas makanan sendiri. Sedikit perubahan daripada setiap individu mampu membantu mengurangkan sisa plastik. Tak perlu tunggu jadi aktivis alam sekitar untuk mula melakukan sesuatu, bukan?
Miss Malaysia Indian Global 2026 Bukan Sekadar Mahkota
Kavitha turut menerima gelaran Miss Congeniality sebagai pengiktirafan terhadap personaliti mesra dan hubungan baik yang dibina bersama peserta lain.
Kemenangan itu hadir bersama pakej hadiah bernilai, termasuk biasiswa penuh pengajian tinggi daripada Veritas University, tiket penerbangan pergi balik ke Jepun serta wang tunai RM3,000.
Namun, acara kemuncak MMIGLOBAL bukan hanya meraikan kejayaan peserta. Sebanyak 18 geran bantuan sara hidup turut disampaikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi menerusi program Meal and Tuition MMICARE di Kapar, Selangor.
Sejak 2022, dana Gift Her With Life MMICARE telah membantu 37 kanak-kanak berisiko daripada keluarga B40 menamatkan SPM dan melanjutkan pendidikan. Bengkel pemerkasaan wanita anjurannya pula telah menjangkau lebih 20,000 pelajar wanita di universiti awam.
MMIGLOBAL Turut Bawa Misi Kelestarian
Satu lagi perkara menarik, MMIGLOBAL mengambil langkah memantau dan mengurangkan jejak karbon setiap peserta menerusi kerjasama dengan program Blue Santa oleh Brewspark Technology, dengan sokongan rakan termasuk Pusat Pengajian Sains Marin dan Pantai USM (CEMACS) serta Konsulat Jeneral Jepun.
Shajana Vincent dari Negeri Sembilan muncul sebagai naib juara pertama, diikuti Yashwini Ravindranath dari Selangor sebagai naib juara kedua. Sharon Ganash dan Ashsweta Muniandy masing-masing meraih naib juara ketiga dan keempat, selain dilantik sebagai Gift Her With Life Ambassador.
Bagi MURAI, kisah Kavitha membuktikan bahawa mahkota bukan sekadar simbol kecantikan. Pengalaman hidup, kerjaya dan keberanian menyuarakan idea turut membentuk seorang wanita yang mampu memberi inspirasi. Penampilan mungkin mencuri pandangan, tetapi usaha membawa perubahan kepada masyarakat itulah yang meninggalkan kesan lebih mendalam. Tahniah Kavitha!















