Setelah 24 hari menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak pandemik COVID 19, semalam beberapa artis naungan Warner Music Malaysia turun padang untuk menyumbangkan 300 helai kemeja-T Ed Sheeran kepada kakitangan ‘frontliners’ Hospital Kuala Lumpur.
Aizat Dan Bunga Hulur Sumbangan
Artis yang terlibat adalah Aizat Amdan dan juga bintang Hip Hop berhijab dan berbaju kurung terbaru Malaysia, Bunga. Mereka turut serta membantu memunggah dan menyerahkan kemeja-kemeja T tersebut di Hospital Kuala Lumpur. Mewakili Warner Music Malaysia, Pengurus Bahagian Antarabangsa Warner Music Malaysia, Yee Lisan berkata ini merupakan sumbangan kecil dari mereka buat para frontliners yang dianggap sebagai wira rakyat Malaysia.
“Ini hanyalah sumbangan kecil daripada Warner Music Group kepada para adiwira yang memerangi COVID 19. Kami ada stok barangan berupa kemeja-t berkualiti yang akan terbazir begitu sahaja jika tidak digunakan, jadi saya rasa ini suatu usaha yang murni dan saya menyeru semua artis dan juga syarikat rakaman yang mempunyai lebihan stok cenderahati daripada kempen sebelum ini untuk sama-sama menderma kepada mereka yang memerlukan pada masa kini” katanya pada edaran pihak media
Pakai Pakaian Yang Diberi
Malah menurut Pengurus Bahagian Domestik Warner Music Malaysia yang juga komposer terkenal, Shah Shamshiri dia difahamkan para pekerja perubatan akan menyalin pakaian mereka di tempat kerja dan memakai kemeja-kemeja T ini kelak.
“Sumbangan kami ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan besar para pekerja ‘frontliners’ yang sanggup bergadai nyawa demi membantu rakyat Malaysia di kala ini. Kami diberitahu bahawa para pekerja perubatan akan menyalin pakaian mereka di tempat kerja dan memakai kemeja-kemeja T ini apabila merawat para pesakit Covid 19. Kami juga menghargai bantuan para artis Warner Music Malaysia iaitu Aizat Amdan dan juga Bunga yang sudi meluangkan masa untuk membantu melaksanakan aktiviti ini”, tambah Shah Shamshiri.
Pihak Warner Music Malaysia berharap agar bantuan sekecil ini dapat meringankan beban para kakitangan ‘frontliners’ yang memerangi pandemik COVID 19 ini dan berdoa agar pandemik COVID 19 ini akan hilang dalam masa terdekat. Dalam perkembangan lain, Aizat telah melancarkan single terbarunya yang berjudul “DUP DUP”, yang turut menampilkan Bunga sebagai bintang undangan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.