Musim durian datang lagi!!! Durian adalah raja buah yang mempunyai aroma yang sangat kuat dengan rasa lemak berkrim yang sangat enak. Oleh sebab itu, ada sesetengah orang yang tidak suka akan aromanya yang begitu menyengat apa lagi untuk menjamahnya. Namun tahukah anda, raja buah ini mempunyai banyak khasiat dan manfaat kesihatan yang luar biasa?
Buah durian mempunyai banyak vitamin seperti vitamin C, asid folik, thiamin, riboflavin, niacin, B6 dan vitamin A. Mineral penting seperti kalium, besi, kalsium, magnesium, soidum, zink, fosforus juga terdapat pada durian. Ia juga mengandungi nutrien seperti phytonutrients, air, protein dan serat pemakanan bermanfaat.
Jom kita tengok apa khasiat yang durian boleh berikan pada kesihatan tubuh kita.
Meningkatkan Tenaga Tubuh Badan
Buah durian mempunyai karbohidrat yang sangat tinggi, dengan memakan buah durian akan membantu menambahkan kadar tenaga yang hilang dan juga dapat mengurangkan keletihan tubuh badan. Karbohidrat kompleks memerlukan masa untuk dicerna dan mencetuskan pengecutan otot yang akan memberikan tenaga jangka panjang kepada tubuh anda.
Membantu Melancarkan Proses Pencernaan
Kajian mendapati dengan memakan durian secara berkala dapat membantu dalam proses pencernaan. Durian merupakan sumber serat makanan yang tinggi dan baik dengan memainkan peranan penting dalam pelbagai fungsi sistem dalam tubuh terutamanya sistem pencernaan. Sel usus besar menggunakan serat sebagai bahan bakar yang membantu menjaga kesihatan tubuh. Serat yang terdapat di dalam buah durian juga akan menjaga saluran pencernaan dengan menambahkan pergerakan usus yang lebih baik.
Mengurangkan Rasa Sakit
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Southern Medical University, ekstrak tempurung durian dipercayai mengandungi ubat penahan sakit dan antibiotik dan dapat membantu melegakan batuk.
Merawat Insomnia Dan Mengurangkan Depresi
Menurut World Journal of Pharmaceutical Research, buah durian mengandungi asid amino yang dikenali sebagai triptofan. Ini adalah sebatian yang dapat mendorong tidur semulajadi yang memetabolisme hormon melatonin yang berfungsi sebagai kitaran bangun tidur dan serotonin pula sebagai agen dalam menghasilkan tidur yang sempurna. Secara tidak langsung perkara ini dapat mengurangkan risiko kemurungan dan juga tekanan.
Menguatkan Tulang
Buah durian merupakan sumber kalsium dan fosforus yang baik. Ia berfungsi sebagai kolaboratif untuk membina dan menguatkan tulang.
Merawat Kemandulan pada PCOS
Sindrom ovarium polikistik (PCOS) adalah keadaan hormon yang mengganggu sistem ketidaksuburan dan menyebabkan kemandulan. Ketidakseimbangan hormon seks wanita menghalang perkembangan dan pembesaran telur matang. Ia mempengaruhi ovulasi dan kehamilan.
Satu kajian yang telah dibuat menunjukkan potensi memakan durian boleh membantu merawat kemandulan pada PCOS, walaupun masih memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut untuk membuktikan kemampuannya.
Kulit yang Sihat
Sama seperti buah-buahan yang lain, buah durian juga mempunyai nutrien dan vitamin yang baik untuk kesihatan kulit. Durian mengandungi kandungan Vitamin C yang sangat tinggi dan ini mampu untuk menyuburkan kulit.
Terdapat beberapa sebatian dalam durian yang juga baik untuk menjaga kelembapan kulit dan kesihatan kulit secara keseluruhan.
Tapi harus ingat, walaupun rasa durian ini sedap namun ianya tidak boleh diambil secara berlebihan kerana raja buah ini mempunyai kadar gula yang sangat tinggi.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.