Banyak yang kita dengar mengenai kejadian pelik berjaya dibongkarkan di ‘Google Maps’. Murai sebelum ini pernah berkongsikan mengenai 5 kejadian kantoi di ‘Google Maps’. Kali ini, kisah mengenai penemuan mayat lelaki yang hilang selepas 22 tahun.
Hilang Selama 22 Tahun
William Moldt yang berumur 40 tahun dilaporkan hilang di Lantana, Florida, pada 7 November 1997. Dia tidak kembali kerumahnya setelah pulang dari kelab malam pada ketika itu.
Menurut BBC.com, kes itu kemudiannya menjadi senyap tanpa ada perkabaran sehinggalah pada 28 Ogos 2019, polis dimaklumkan tentang penemuan sebuah kereta di dalam tasik di Moon Bay Circle, Wellington.
Ditemui Melalui Carian Di ‘Google Maps’
Kereta yang tenggelam milik Moldt dilihat oleh salah seorang bekas penduduk sebelum melakukan carian di ‘Google Maps’. Lelaki itu kemudian menghubungi seorang penduduk Moon Bay Circle untuk memberitahu mereka apa yang telah dilihatnya.
Dengan menggunakan drone peribadi, penduduk mengesahkan ada sebuah kereta di tasik itu dan menghubungi polis.
Terdapat Sisa Rangka Di Dalam Kereta
Menurut BBC.com, apabila kereta itu ditarik naik, terdapat sisa-sisa rangka mayat. Setelah seminggu membuat pengesahan, akhirnya polis mengesahkan mayat tersebut adalah milik Moldt yang telah hilang sejak tahun 1997 lagi.
Kereta Dikesan Sejak 2007
Sebuah laporan oleh Charley Project menyatakan bahawa kenderaan tersebut jelas kelihatan pada foto satelit di ‘Google Earth’ sejak 2007, tetapi tidak ada sesiapa yang betul-betul memerhatikan dan mengambil tindakan terhadap gambar tersebut.
Sebelum kejadian, dipercayai Moldt membuat panggilan kepada kekasihnya sekitar jam 21:30, memberitahu bahawa dia akan segera pulang, tetapi tidak pernah dilihat atau didengar khabarnya selepas itu. Menurut polis Palm Beach County, Moldt dipercayai hilang kawalan ketika memandu dan keretanya terjunam ke dalam tasik.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.