Ketika ini,Turki berhadapan dengan saat getir apabila beberapa hutan negara itu telah terbakar secara tiba-tiba dan turut merebak ke kampung dan destinasi pelancongan berhampiran hingga memaksa penduduk berpindah.
Beberapa Kawasan Di Turki Terbakar
Lebih menyedihkan, tragedi tersebut telah mengorbankan beberapa nyawa penduduk setempat dan juga haiwan ternakan mereka. Difahamkan, kebakaran yang bermula sejak Rabu lalu bertambah buruk dengan keadaan cuaca Turki yang kini panas dan kering. Disebabkan itu, api semakin marak dan merebak di lebih banyak kawasan.
Chef Burak Tampil Bantu
Susulan itu, selebriti kulinari terkenal dunia, Chef Burak turut tampil memberi bantuan untuk memadamkan api di kawasan berhampirannya. Dikenali dengan ‘trademark’ nya yang tersenyum ketika memasak, Burak turut berkongsi foto dan mesej mengenai bencana tersebut di laman Instagram nya.
“Sekitar jam 3.40 pagi di Antalya Manavgat, saya hanya mengikuti jalan yang membawa ke arah kebakaran tersebut dan akhirnya tiba disini. Bukan sahaja pokok-pokok terbakar di sana-sini, malah jiwa kami dan jiwa lain yang menghirup udara yang sama turut terbakar. Sukar untuk saya ungkapkan perasaan ini, namun ia tetap tidak sama seperti apa yang kita lihat dari jauh” luah Burak
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata daripada pengikutnya mendoakan agar Turki kembali pulih seperti sedia kala. Dalam pada itu, mereka turut berterima kasih kepada Burak atas pertolongan yang diberikan. Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan sebahagian wilayah Turki selatan yang dilanda kebakaran hutan sebagai ‘kawasan bencana’ .
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.