Monday, December 16, 2024

#Belasungkawa – 9 Selebriti Tanah Air Yang Telah Meninggal Dunia Pada 2021

253
KONGSIAN

Rangkuman 2021 menyaksikan ramai selebriti tanah air telah pergi buat selama-lamanya. Industri seni ibarat kehilangan beberapa permata apabila pemergian mereka ibarat satu kejutan yang tidak dijangka oleh ramai rakan-rakan selebriti dan peminat.

Meskipun tiada lagi di dunia ini, namun nama mereka akan terus terpahat dan disebut sebagai insan yang cukup berbakat besar dan baik budi pekertinya. Sepanjang 2021, pemergian 9 selebriti ini ternyata memberi satu berita sedih buat semua yang mengenalinya. Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah mereka yang telah meninggalkan kita akan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan buat mendiang, terima kasih kerana telah menghiburkan kami.

1. Datuk Jamali Shadat

Pelakon dan pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, telah menghembuskan nafas terakhir pada 3 Februari 2021.  Terkenal dengan  kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya, Allahyarham meninggakan lapan anak dan 39 cucu.

2. Noryati Taib (Mak Cik Petir) 

Pelakon yang terkenal dengan gelaran ‘Mak Cik Petir’, Noryati Taib menghembuskan nafas terakhir pada 7 April 2021.  Noryati yang juga ibu saudara kepada pengarah terkenal, Shahrulezad Mohammeddin pernah mengalami pelbagai komplikasi penyakit sebelum ini seperti diabetes, jangkitan kuman pada paru-paru dan pernah mengalami sesak nafas hingga keadaannya kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI pada 24 September 2017.

3. Abu bakar Omar

Terkenal dengan lakonan drama dan filem sejak tahun 1980-an, pelakon Abu Bakar Omar meninggal dunia pada jam 9.04 pagi tadi di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar, selepas mengalami masalah jantung. Allahyarham yang berusia 72 tahun menghembuskan nafas terakhir pada 16 April 2021.

4. Rama

Rama yang mempunyai sejarah penyakit jantung telah meninggal dunia pada 26 Mei 2021. Pelakon dan pelawak yang popular menerusi sitkom Spanar Jaya ini menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibawa ke bahagian kecemasan pusat rawatan itu. Dikatakan, Rama mengalami bengkak kaki pada tengah malam sebelumnya.

5. Mimi Loma

Pelakon veteran yang juga adik kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarhamah Mariani Ismail, Mimi Loma meninggal dunia pada 21 Ogos 2021. Allahyarhamah meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, jam 2.19 pagi .

6. Benjy

Pelakon Benjy  yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada 11 Julai 2021. Berita sedih itu dimaklumkan oleh ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi.
Difahamkan, Benjy meninggal dunia akibat penyakit asma ketika masih menjalani hukuman penjara. Pada 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.

7. Mamat Khalid

Penerbit dan pengarah tersohor, Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River pada 24 Oktober 2021 selepas pengsan di restorannya, Sarang Art Hub. Sepanjang hayatnya, Allahyarham begitu dikenali dengan pelbagai filem yang sering pecah panggung dan dekat di hati peminat.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Khalid, 58 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.

8. Siti Sarah

Penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang bertarung nyawa sebelum ini akibat jangkitan COVID-19 telah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021.

Menerusi sebuah kenyataan yang dikirimkan oleh pihak pengurusan Allahyarham, Indigital Music, Sarah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 5.13 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Sebelum itu, Sarah telah melahirkan anak bongsunya, Ayyash Affan dua bulan lebih awal pada 6 Ogos 2021 secara pembedahan bagi mengelakkan lebih banyak risiko berikutan dijangkiti wabak berkenaan.

9. Gmie Screen

Penyanyi Gmie Screen meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada 10 Disember 2021. Allahyarham Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim meninggal dunia pada usia 50 tahun akibat masalah buah pinggang bocor.

Pemergian Allahyarham teryata mengejutkan kerana difahamkan Gmie lebih senang untuk tidak menghebahkan keadaan kesihatannya kepada umum.

+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

HOT MINGGU INI