Vokalis Azzara Band, Ejai Aziz menanggung derita sakit bahagian bawah zakarnya berasa panas tepat jam 12, setiap malam selama tiga bulan.
Reda Menjelang Subuh
Menurutnya, rasa panas itu semakin kuat sekitar jam 3 pagi dan kemudian reda setelah azan Subuh berkumandang.
“Saya memang bingung dan rasa sangat sakit. Bila diserang saya ke hospital, selama enam kali saya buat pemeriksaan di hospital berbeza.
“Malah turut membuat pemeriksaan imbasan tetapi kata doktor tidak ada apa-apa termasuk ujian darah yang dijalankan.
“Kalau ikutkan rasa sakit saya memang yakin akan ditahan di wad tapi sebaliknya saya dibenarkan balik,” katanya mengimbas kembali kejadian misteri dialaminya sekitar Mac tahun lalu.
Rawatan Islam
Disebabkan tidak tahan, Ejai telah mendapatkan rawatan Islam dan dua ustaz yang memeriksanya memberitahu bahawa dia telah terkena buatan orang.
“Saya pun tak tahu punca dan siapa. Benda itu sudah lama dalam badan saya sejak beberapa tahun dan kemuncaknya saya diserang tahun lalu.
“Syukur dengan ikhtiar yang dilakukan saya kembali pulih dan saya berharap perkara sama tidak berulang lagi,” katanya yang kini sihat seperti biasa.
Fokus Bidang Muzik
Dalam pada itu, Ejai menambah, dia mahu fokus pada bidang muzik bersama Azzara Band dan mencipta lagu untuk tempoh lima tahun kedepan.
“Kami juga terus mengikut kehendak peminat dan pendengar yang gemar dengan muzik rancak berbanding muzik balada daripada kami.
“Lagu kami seperti Siapa Kata lebih disenangi dan untuk itu kami beri perhatian kepada muzik seperti itu sebelum beralih ke genre lain,” katanya.
Bercakap mengenai peluang jika ditawarkan menyertai pertandingan Big Stage, Ejai tidak menolak jika dikurniakan rezeki dan peluang itu.
“Saya pasti akan berbincang dengan ahli kumpulan dan pengurusan. Saya mahu yang terbaik untuk semua. Apapun saya takkan tinggalkan band saya,” katanya menutup bicara.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.