Sudah menjadi kebiasaan bagi ramai orang untuk kongsikan momen-momen menarik menerusi pelbagai akaun media sosial yang tersedia. Antara perkara yang sering dilakukan ramai adalah merakam video di pawagam untuk berkongsi pengalaman ataupun pendapat mengenai filem yang ditonton. Akan tetapi perkara ini semestinya dilarang di sisi undang-undang.
Boleh dikenakan denda ataupun penjara
Melalui Akta Hak Cipta 1987, seseorang individu boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Jelas bahawa isu ini bukan sesuatu yang patut diambil mudah dan ianya tidak boleh diterapkan sebagai perkara yang normal di dalam minda masyarakat.
Syamsul Yusof mengulas isu ini
“Abang tak mahu kes saman filem ‘Munafik 2’ dulu berulang sekali lagi, sampai kedua orang tua nangis-nangis mohon maaf atas perbuatan tidak bertanggungjawab anak mereka
Maaf abang terpaksa ambil juga tindakan mahkamah dulu. Akhirnya diisytihar muflis/black listed kerana saman gagal dibayar.”- tulis Syamsul di akaun Instagram
Pengarah dan pelakon popular tanah air, Syamsul Yusof, tampil memberi kenyataan mengenai isu ini. Baru-baru ini, filem arahannya, Mat Kilau, menerima sambutan hangat daripada khalayak ramai. Sehubungan dengan itu, ramai pengguna di TikTok merakam babak filem tersebut di dalam pawagam untuk dikongsikan di akaun mereka.
Menurut Syamsul , dia menyarankan agar para pengguna TikTok tidak berkongsi rakaman video mereka kerana pihak penerbit mampu untuk mengeluarkan saman dan tindakan mahkamah boleh dikenakan. Syamsul juga mengatakan dia perlu bertegas tentang hal ini supaya isu filem Munafik 2 yang juga merupakan filem arahannya, di mana seorang individu disaman sehingga ibu bapanya merayu memohon maaf, tidak berulang.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa isu ini bukanlah perkara yang perlu di ambil ringan kerana risiko dan hukuman yang dikenakan agak berat untuk dihadapi. Sikap ini tidak boleh dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat kerana bimbang menjadi satu ‘kebiasaan’.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.