Pelawak, Shahrol Shiro tampil bersuara selepas Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Fizi Ali yang sebelum ini merupakan penyampai radio di stesen radio Suria FM telah beralih arah sebagai penyampai radio di stesen radio Hot FM.
“Rupanya Masih Sama..”
Menerusi hantaran di Instagram, Shahrol menyatakan bahawa dia menyangka stesen radio Suria FM akan menjadi lebih profesional dan menghargai para penyampai yang pernah menabur bakti setelah apa yang berlaku sebelum ini, tetapi ternyata masih sama.
“Dulu saya, sekarang sahabat lama saya Fizi Ali pula. Selepas isu yang terjadi antara kita suatu masa dahulu, saya ingat stesen radio kamu akan lebih profesional dan menghargai penyampai yang pernah bertugas menabur bakti disana, rupanya masih sama.”-Tulis Shahrol
Kenyataan Memburukkan Bekas Penyampai Beri Impak Besar
Dalam pada itu, Shahrol turut menyifatkan sikap pihak stesen berkenaan yang telah memberikan kenyataan yang memburukkan bekas penyampai kelihatan ringan, namun ia telah memberikan impak yang besar terhadap orang lain.
“Kenyataan memburukkan bekas penyampai kamu nampak ringan tetapi impaknya besar. Sehingga ke hari ini pun masih ada komen yang mengatakan masalah disiplin saya padahal saya sudah menerangkan kejadian sebenar.”-Tulis Shahrol
Di akhir hantarannya, bekas penyampai radio Suria FM ini menitipkan pesanan agar menjadi profesional dan belajar menghargai mereka yang telah banyak menabur bakti di stesen radio tersebut.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.