Penyanyi Mamat Exist menepis persepsi tahap kesihatannya semakin merosot susulan video kelihatan kurus dan cengkung ketika di sebuah kedai makan di Johor Bahru tular, baru-baru ini.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 45, berkata video yang tular itu adalah kandungan lama dan dimuatnaik dalam media sosial kira-kira sebulan lalu.
Malah, penyanyi lagu Janji Padamu ini menjelaskan, tahap kesihatannya masih dalam keadaan baik.
“Kesihatan saya baik-baik sahaja, tidaklah teruk sangat. Kadang-kadang sahaja datang sakit, mungkin dalam tiga bulan hanya sekali sahaja sakit.
“Sakit pun yang biasa-biasa sahaja macam demam, bukanlah sakit misteri.
“Itu video lama sebenarnya dan hanya tular, baru-baru ini. Ketika itu saya dalam keadaan tidak bersedia, jadi disebabkan itulah orang tengok macam tak sihat.
“Saya makan seperti biasa, cuma kadang-kadang sahaja tak makan sebab tiada selera. Saya duduk seorang, jadi makan tak ikut masa, hanya lapar barulah makan,” katanya.
Dalam pada itu, Mamat mengakui, dia tidak terguris dengan komen negatif yang masih mengaitkan dirinya dengan pengambilan barang terlarang.
“Saya ada baca komen negatif netizen, tetapi saya lebih memilih jalan untuk tidak respon. Saya hindarkan semua kata negatif dan langsung tak terguris hati.
“Kalau saya balas komen, nanti ia menjadi lebih besar. Daripada saya terguris hati lebih baik diam. Kalau teruk sekalipun saya hanya biarkan sebab kadang-kadang apa dikatakan hanyalah andaian,” katanya.
Terdahulu, penampilan terbaharu penyanyi yang membuat penampilan sulung bersama Exist pada 1991 itu mencuri perhatian sehingga menimbulkan pelbagai persepsi kurang baik dalam kalangan netizen.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.