Video menampilkan pelakon, Diana Danielle duduk bersebelahan bekas suaminya, Farid Kamil ketika menjayakan sebuah program menarik perhatian ramai.
Farid menerusi Instagram Story (IGs) turut memuat naik video Diana sedang ditemubual yang turut disertakan emoji lelaki sedang dilamun cinta dengan bentuk ‘love’.
Bukan itu saja, Farid dan Diana juga seakan-akan memberi bayangan mereka kini dalam proses rujuk semula menerusi video temubual pendek yang dimuat naik di TikTok program berkenaan.
“Walaupun apa yang terjadi adalah satu musibah. Ia sebenarnya kalau dilihat, merupakan satu nikmat juga,” kata Farid secara ringkas di video pendek berkenaan.
Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dan mendoakan pasangan selebriti itu rujuk semula sebagai suami isteri selepas bercerai, baru-baru ini.
“Semoga mereka dapat rujuk semula dan perbaiki kelemahan masing-masing demi rumah tangga mereka. Insya-Allah.
“Alhamdulillah, rujuk semula. Semoga jodoh mereka kekal hingga ke jannah,” itu antara komen netizen.
Bagaimanapun, setakat ini, mereka masih belum mengesahkan spekulasi membabitkan mereka itu.
Pada 10 Ogos lalu, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.