Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar menitipkan ucapan istimewa untuk isteri tercinta, Datin Dr Halina Yunos sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-13 pada 10 Oktober, semalam.
Tahun Pertama Mendirikan Rumah Tangga Adalah Paling Sukar
Menerusi hantaran di Instagram, Sheikh Muszaphar merasa tidak percaya dengan usia perkahwinannya yang sudah memasuki tahun ke-13 bersama isterinya sejak 2010, serta mengakui tahun pertama adalah tahun yang paling sukar ketika mereka berdua cuba untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain.
“10.10.10 tarikh anniversary kami. Yang tidak dapat saya lupakan. Tidak percaya sudah 13 tahun. Betapa cepatnya masa berlalu. Dipenuhi dengan kegembiraan dan air mata. Naik dan turun. Perjalanan yang kami pilih dan dipersetujui.
Tahun pertama adalah yang paling sukar. Kedua-duanya cuba menyesuaikan diri, memahami antara satu sama lain. Banyak kompromi diperlukan. Dan tiba-tiba Bella dilahirkan pada tahun 2011.”-kongsi Sheikh Muszaphar
Saling Menyokong Antara Satu Sama Lain
Kini dikurniakan tujuh cahaya mata, angkasawan negara ini menyatakan bahawa dia dan isteri saling menyokong antara satu sama lain serta memberikan fokus kepada anak-anak yang semakin membesar.
“Kami cuba mengatasinya. Saling menyokong antara satu sama lain. Fokus kepada anak-anak. Kurang tidur, huru-hara di mana-mana, berlari dan memanjat, itu adalah norma. Kami tahu apa yang dijangkakan dan apa yang perlu dilakukan.
Kini sudah 13 tahun menjalani kehidupan berumah tangga. Kehidupan tidak mungkin lebih baik dari membesarkan tujuh cahaya mata yang sentiasa menjadi pilihan utama kami. Mahu mereka menjadi yang terbaik. Mempunyai kedua-duanya, dunia dan akhirat.”-kongsi Sheikh Muszaphar lagi
Sekadar info, Dr Sheikh Muszaphar Shukor telah mendirikan rumah tangga dengan Dr Halina Mohd Yunos pada 10 Oktober 2010. Pasangan ini dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, kembar lelaki, Sheikh Adam dan Sheikh Noah, sepasang kembar, Eusoff dan Emilia, serta Sheikh Muhammad selamat dilahirkan pada 12 Julai 2023.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.