Seluruh dunia kini mengetahui bahawa tindakan Israel yang melakukan serangan di Semenanjung Gaza amat keterlaluan dan tiada perikemanusiaan.
Bahkan zionis Israel terus mengganyang umat Islam Palestin di wilayah Gaza tanpa segan silu. Apa yang lebih memalukan apabila terdapat pemimpin-pemimpin Islam hanya mampu mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengutuk dan membidas perlakuan kebinatangan itu.
Mereka tidak mampu berpakat dan bersatu hati sesama sendiri untuk bertindak secara konkrit terhadap rejim Zionis Israel.
Baru-baru ini Suruhanjaya Palestin bagi Tahanan dan Hal Ehwal Bekas Banduan mendedahkan bahawa jumlah tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel melebihi 7,000 orang, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Memetik kenyataan berbahasa Arab suruhanjaya itu pada Ahad, WAFA melaporkan bahawa tentera Israel menahan lebih 3,200 rakyat Palestin antara 8 Oktober dan 14 November, dengan jumlah tertinggi dari Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.
Ini termasuk lebih 200 remaja dan kanak-kanak, 78 wanita selain ratusan orang sakit dan cedera yang masih memerlukan rawatan.
“Seramai 29 daripada 41 wartawan yang ditahan masih dalam tahanan sejak 7 Oktober lalu,” menurut kenyataan itu.
Menurut WAFA, tentera Israel mula menggiatkan operasi penangkapan di lapangan sehari selepas konflik Israel-Gaza memuncak pada 7 Oktober termasuk menyerbu premis awam, merosakkan dan memusnahkan rumah penduduk di Gaza selain memukul keluarga tahanan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.