Bahasa Melayu unik kerana mempunyai dua jenis tulisan iaitu jawi dan rumi.
Sebelum rumi, bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi yang telah wujud sejak sekitar 1300 Masehi dan dikaitkan dengan ketibaan Islam khususnya dengan kedatangan orang Parsi ke Tanah Melayu ketika itu.
Abjad Arab yang diperkenalkan telah diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan.Penemuan batu bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah (1303 Masihi) juga menjadi bukti penggunaan tulisan jawi pada masa itu.
Bahkan, bangsa Melayu menjadi tersohor hakikatnya adalah kerana berpegang dengan Islam hinggakan kedudukan kaum dan agama tersebut termaktub dalam takrifan Perlembagaan Malaysia.
Namun, ketika pelbagai pihak semakin meminggirkan tulisan Jawi dasarwarsa ini, namun masih ada anak bangsa yang masih mengagung-agungkan tulisan jawi, tulisan keramat!
Penyanyi Ezlynn yang pernah merakamkan lagu Pening bersama Allahyarham Datuk M Daud Kilau hampir dua dekad lalu menyifatkan bintang legenda itu sebagai tokoh yang mengutamakan penampilan diri.
Ezlynn berkata, setiap kali bertemu dengan bintang legenda itu, Allahyarham M Daud jarang tampak selekeh, sebaliknya, sering kemas biar dalam apa keadaan sekali pun.
“Arwah menjaga personaliti diri. Kita tidak akan jumpa beliau dalam keadaan tidak bersiap. Fesyen yang digayakan ‘on point’ dan tiada istilah biasa-biasa dalam setiap penampilannya.
“Arwah sentiasa serius dalam pekerjaan dan tidak buat kerja sambil lewa dalam apa sahaja yang diberi kepadanya.
“Daripada segi keperibadian, arwah lemah lembut tetapi amat tegas dalam pekerjaan,” katanya.
Berkongsi pengalaman merakamkan lagu Pening yang dimuatkan dalam album keduanya, Pssst terbitan 2004, Eylnn atau nama sebenar, Azline Ariffin, 43, mendedahkan rahsia yang mungkin tidak ramai tahu mengenai Allahyarham M Daud.
“Kami rakamkan lagu itu secara berasingan. Saya masuk studio dahulu, disusuli arwah. Apa yang saya tahu, arwah tidak baca tulisan rumi. Jadi, kita kena tulis lirik itu dalam Jawi.
“Jadi, kita kena ambil masa untuk tulis lirik lagu Pening dalam Jawi,” ujar penyanyi yang namanya meledak dengan lagu Hi Hi Bye Bye.
Tidak pernah lokek berkongsi ilmu, Ezlynn berkata, Allahyarham M Daud sempat menitipkan pesanan berguna yang boleh dijadikan panduan masa depan.
“Nasihat yang pernah arwah kongsi kepada saya adalah, jika naik pentas terutama bersama pasangan duet, kena sentiasa fokus kepada pasangan kita itu. Ini penting supaya penjiwaan terhadap lagu itu sampai.
“Selalunya, apabila kita menyanyi duet depan khalayak ramai, tumpuan kita sudah tentu kepada mereka. Namun, pesan arwah, kita kena fokus kepada pasangan kerana secara tidak langsung, penonton terikut sekali,” katanya.
Ezylnn turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham M Daud dan mendoakan mereka tabah menghadapi ujian itu.
Allahyarham M Daud menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Hospital Teluk Intan (HTI), Teluk Intan, Perak, jam 4.46 petang semalam.
Berita pemergian penghibur malar segar itu dikongsi cucunya dikenali sebagai Hasnor Ikram melalui Instagram Story (IGs).
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.