Penyanyi terkenal Datuk Nora Ariffin, 51, baru-baru ini mengejutkan peminat dan media apabila mendedahkan bahawa lafaz cerai oleh suaminya, Dr Rushdi Ramli, dibuat tanpa kerelaan dan atas desakan pihak tertentu.
Menurut Nora, suaminya yang juga seorang ustaz, dipaksa untuk melafazkan talak serta diminta merakam aksi tersebut sebagai bukti.
Nora berkongsi perasaan dan situasi tersebut di mana beliau menjelaskan, “Ustaz (suami) dipaksa ceraikan saya tanpa sebarang sebab dan diminta ambil video sebagai bukti supaya semua orang tahu.”
Bagaimanapun, ketika ditanya lebih lanjut mengenai identiti individu yang memaksa suaminya itu, Nora memilih untuk tidak mengulas dan hanya berkata, “Itu sahaja… Cukuplah.”
Melalui Instagram Story (IGs), penyanyi lagu Dendam Dalam Diam itu turut menyatakan bahawa beliau tidak menyalahkan Dr Rushdi atas apa yang berlaku.
“Ustaz tidak bersalah. Dia hanya mengikut arahan yang diberikan padanya iaitu melepaskan saya tanpa sebab dan merakam video sebagai bukti. Saya tergamam tidak terkata. Cukuplah Allah bersamaku,” tulisnya bersama emoji tangan sedang berdoa.
Terdahulu, Nora membuat kejutan apabila berkongsi video yang menunjukkan saat dirinya diceraikan oleh Rushdi di akaun Instagramnya.
Meskipun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perceraian itu, Nora meluahkan rasa syukur atas apa yang terjadi, seolah-olah redha dengan ketentuan takdir.
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga Nora dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM), Dr Rushdi, telah bertebaran sejak tahun lalu.
Namun, Nora sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu bahawa hubungan mereka masih baik.
Nora, yang merupakan penyanyi kelahiran Kelantan, mendirikan rumah tangga dengan Dr Rushdi pada tahun 2021, dalam perkahwinan yang jarang menjadi tumpuan media.
Dr Rushdi merupakan sahabat baik kepada arwah suami pertama Nora, Johan Nawawi. Nora dan Johan mendirikan rumah tangga pada tahun 1992 dan dikurniakan empat orang anak. Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.
Nora juga pernah diuji dengan pemergian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff, yang meninggal dunia pada usia 20 tahun pada 13 Disember 2019.
Kini, Nora sekali lagi diuji dengan perpisahan dalam rumah tangga yang tidak dijangka ini, namun beliau terus berpegang kepada kepercayaan dan ketabahan dalam mengharungi segala dugaan yang datang.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.