Bukan sekadar konsert, festival muzik, Nyalafest 2024 bakal menggabungkan lapan artis terkenal dari dua negara, Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November ini.
Barisan artis Indonesia yang ditampilkan pada festival anjuran RF3 Etertainment dengan kerjasama Wolfstrike Brothers bersama Neptunes Presents termasuklah Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya dan Fugo.
Manakala, artis dari Malaysia yang turut memeriahkan lagi festival adalah Noh Salleh X Restoe Iboe.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RF3 Entertainment, Muhammad Nashreen Syazwan Nazeri berkata, pihaknya bangga dapat bersama meraikan acara festival muzik yang membariskan barisan artis yang terbaik dari Malaysia dan Indonesia.
“Pasukan kreatif bertungkus lumus mendapatkan barisan artis yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia. Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat.
“Setiap artis sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung.
“Bagaimanapun, senarai lagu disampaikan artis akan dirahsiakan sehingga hari persembahan,” katanya.
Berkongsi pemilihan Noh Salleh sebagai artis jemputan, Muhammad Nashreen Syazwan berkata, Noh sudah beberapa kali bekerjasama dengan penganjur dan persembahannya sering mendapat sambutan peminat.
“Persembahan Noh yang diiringi Restoe Iboe pasti memberi kejutan. Ini kerana Noh sering kali tampil solo, tetapi kali ini, bakal beraksi bersama band, sekali gus memperlihatkan persembahan berbeza,” katanya.
Mengulas soal pemilihan lokasi, Muhammad Nashreen Syazwan berkata, Nyalafest 2024 bakal diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 November ini.
“Lokasi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dipilih kerana ia mampu memuatkan kapasiti lebih 15,000 penonton.
“Pintu stadium akan dibuka jam 2 petang dan set pertama persembahan artis akan bermula pada jam 3 petang.
“Dari segi jualan tiket, lebih 60 peratus tiket sudah terjual sejak hari pertama penjualan dibuka pada 6 September lalu dan ia dijangka berterusan sehingga menjelang hari konsert nanti,” katanya.
Tiket acara ini boleh didapati menerusi laman web myticketempire. Pembelian tiket secara ansuran juga ditawarkan melalui Atome.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.