Tiba-tiba, tanpa sebarang angin atau ribut, pelakon Dynas Mokhtar meluahkan rasa kesalnya terhadap sikap sesetengah majikan yang suka ‘berleter’ dan menghamburkan kemarahan di tempat kerja.
Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 41, berkongsi rasa kecewa tentang bagaimana emosi yang tidak terkawal oleh majikan boleh memberi kesan negatif kepada pekerja.
Katanya, “Hari ini saya stres. Tak seronok sebenarnya bila awak masuk kerja dan ada orang tengah marah-marah, mesti akan beri kesan kepada mood.”
Dynas yang juga terkenal dengan watak dalam drama “Susuk” ini memaklumkan bahawa apabila seorang majikan mempamerkan emosi yang tidak menentu, ia bukan sahaja menggangu perasaan pekerja, malah turut memberi impak pada produktiviti mereka.
“Mesti ada cara untuk menegur pekerja sebab semua itu akan memberi kesan terhadap mood pekerja itu,” tambahnya. Kalau pekerja sudah datang ke pejabat dengan semangat dan tekad untuk kerja, tetapi tiba-tiba ‘terkena’ tempias amarah majikan, siapa yang tidak stress, kan?
Sementara itu, Dynas juga memberi nasihat kepada semua majikan supaya lebih profesional dan bijak mengawal perasaan. “Bermuhasabah diri dan perbaiki kelemahan untuk menjadi pemimpin yang baik,” katanya. Sebab, kalau majikan tidak mampu mengawal emosi, kualiti kerja pun akan turut terjejas.
Pekerja yang tertekan tidak akan dapat memberikan yang terbaik. “Tak boleh nak buat kerja sepenuh hati dan hilang semangat sebab mood sudah lari,” katanya. Memang ada benarnya, kalau dalam keadaan marah, fokus pun hilang. Kerja pun jadi serba tak kena!
Jadi, Dynas menyoal, “Apa jenis bos yang awak ingin jadi untuk pekerja awak?” Persoalan ini ternyata mengundang perhatian ramai. Tiada siapa yang mahu menjadi bos yang suka melepaskan amarah tanpa sebab.
Ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada pekerja, malah kepada keseluruhan suasana kerja. Bayangkan kalau setiap hari pekerja terpaksa berhadapan dengan majikan yang tidak stabil emosinya, mana ada mood nak buat kerja?
Dynas tidak mendedahkan secara spesifik kepada siapa luahan itu ditujukan, tetapi ramai netizen yang menyokong kenyataannya. Mereka bersetuju bahawa majikan tidak seharusnya melepaskan tekanan perasaan kepada pekerja begitu sahaja.
Lagipun, pekerja adalah aset berharga yang perlu dijaga, bukan diperlakukan seperti tempat sampah untuk buang segala emosi negatif.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.