Pengasas jenama kecantikan terkenal, Glowing Beauty, Puan Wahida Ismail, atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Wa, baru-baru ini berkongsi kisah tragis yang berlaku kira-kira setahun lalu, iaitu ketika rumahnya menjadi sasaran pecah masuk oleh penyamun.
Kejadian itu berlaku selepas beliau pulang dari mengerjakan Umrah, satu perjalanan yang sepatutnya memberi ketenangan, tetapi berubah menjadi detik yang penuh kecemasan dan ketegangan.
Kak Wa menceritakan bahawa ketika kejadian pecah masuk itu, beliau mengetahui hal tersebut selepas mendapati suspek yang ditahan mempunyai beg tangan jenama Louis Vuitton (LV) miliknya. Menurutnya, suspek yang ditahan itu terlibat dalam beberapa kes pecah masuk yang terkenal, termasuk kes yang melibatkan usahawan Kieda Crepe dan juga Kak KM.
“Ketika saya tahu suspek itu ditahan dan memakai beg LV saya, saya terkejut. Saya tahu saya bukan satu-satunya mangsa, tetapi kejadian ini sangat memberi kesan pada saya. Saya tak sangka rumah saya akan jadi sasaran pecah masuk juga,” ujar Kak Wa, mengenang kembali detik tersebut.
Walau bagaimanapun, Kak Wa mengakui bahawa dia bernasib baik kerana barangan berharga seperti barang kemas yang bernilai lebih RM1 juta masih selamat. Yang lebih mengejutkan adalah cara beliau menyimpan barangan kemas tersebut, yang mana ternyata menyelamatkan nasibnya.
“Saya memang selalu menyimpan barang kemas saya dengan cara yang sedikit luar biasa. Saya tak simpan dalam laci atau peti, sebab saya tak rasa tempat itu selamat. Sebelum berangkat ke Umrah, saya menyembunyikan barang kemas saya dalam tong sampah di bilik. Saya tahu itu bukan tempat biasa orang akan cari, jadi saya tak ragu untuk letakkan di situ,” jelas Kak Wa dengan nada yang penuh kesyukuran.
Sejak kejadian tersebut, Kak Wa lebih berhati-hati dengan keselamatan rumahnya dan mula mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan seperti tidak berkongsi kehidupan harian di media sosial. Beliau juga berpesan kepada orang ramai agar lebih waspada dan sentiasa mengutamakan keselamatan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai aset atau barangan berharga di rumah.
Memperkenalkan produk terbaru, Glow Skin
Usahawan berasal dari Tumpat, Kelantan ini ditemui ketika majlis Gala Dinner ‘Glowing Beauty’ di ibu kota baru-baru ini. Malam tersebut bukan hanya untuk meraikan kejayaan GLOWING BEAUTY sejak penubuhannya, tetapi juga untuk menghargai setiap individu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini.
Malam itu juga sangat istimewa kerana mereka memperkenalkan produk terbaru, Glow Skin, yang dihasilkan dengan kualiti terbaik dan keberkesanan tinggi. Dibuat dengan bahan tumbuhan semula jadi dan diformulasi oleh pakar dermatologi berpengalaman lebih 30 tahun, Glow Skin menawarkan 8 item penjagaan kulit yang sesuai untuk pelbagai jenis kulit.
Mereka yakin produk ini akan membawa GLOWING BEAUTY ke tahap yang lebih tinggi dan mendapat sambutan hebat. Semoga GLOWING BEAUTY terus bersinar dan memberi inspirasi kepada ramai wanita di luar sana.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.