Industri hip hop tempatan kembali meriah dengan pelancaran single terbaru Kemana Ni, hasil kolaborasi antara tiga nama besar dalam industri muzik Malaysia—Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Salammusik.
Perjalanan Panjang Sejak 2018
Dilancarkan secara rasmi oleh Sony Music Malaysia, lagu ini bukan sekadar gabungan sonik yang menarik antara hip hop dan reggae, tetapi juga menyampaikan mesej introspektif tentang perjalanan hidup dan hala tuju di tengah dunia moden yang semakin mencabar.
Kemana Ni bukan hanya sekadar sebuah kolaborasi, tetapi ia merupakan hasil perjalanan panjang sejak 2018.
Lagu ini tercetus selepas kejayaan Gong Nekara pada tahun tersebut, di mana Kmy Kmo merasakan keperluan untuk mencipta sebuah karya yang menggambarkan pencarian makna hidup.
Kisah Realiti Kehidupan

Luca Sickta menambah, projek ini sudah lama direncanakan dan baru dapat direalisasikan setelah melalui pelbagai fasa penciptaan.
Salammusik, yang menjadi artis pertama diajak berkolaborasi, terus menyambut baik idea ini sejak awal dan akhirnya, lagu ini dapat dikongsi dengan dunia.
Lagu ini membicarakan realiti kehidupan, terutamanya bagi mereka yang sedang menghadapi peralihan ke alam kedewasaan.
Kmy Kmo menjelaskan, Kemana Ni menggambarkan perasaan mereka yang terpaksa membuat keputusan besar dalam hidup.
Gabungan Segar Antara Hip Hop dan Raggae
Salammusik pula menekankan bahawa lagu ini mengingatkan kita bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran, tetapi sebahagian dari proses menuju kejayaan.
Dari segi muzik, Kemana Ni memperkenalkan gabungan segar antara hip hop dan reggae, dua genre yang saling melengkapi.
Luca Sickta memastikan elemen-elemen lagu ini disusun dengan teliti, menghasilkan sebuah karya yang serasi dan penuh dengan identiti.
Kolaborasi ini diharap dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada pendengar yang sedang mencari hala tuju hidup mereka.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.