Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berpendapat bahawa tidak ada alasan untuk merasa segan dalam memohon maaf apabila melakukan kesilapan. Siti menekankan bahawa tindakan memohon maaf adalah langkah terbaik untuk mengelakkan salah faham yang mungkin berpanjangan. “Bila minta maaf, orang fahamlah yang kita terkhilaf. Itu lebih baik. Tak mengapa. Tak perlu nak rasa segan nak minta maaf,” ujar Siti.
Tindakan Siti meminta maaf ini merujuk kepada kontroversi baru-baru ini yang timbul selepas beliau mempromosikan produk berkaitan nikotin di Instagram. Tindakannya itu mendapat maklum balas segera dari netizen, yang menyambut baik kesediaannya untuk mengakui kesilapan.
Siti juga menjelaskan bahawa video tersebut diambil ketika beliau sedang bersantai sambil mengikuti perkembangan perniagaan anak-anak, dan dia tidak berniat untuk menimbulkan sebarang provokasi. “Mungkin silap saya berkongsi. Saya harap apa sahaja yang dilakukan anak-anak dapat memberi manfaat pada masyarakat,” katanya.
Pada masa yang sama, Siti juga mengambil langkah yang bertanggungjawab dengan memadam hantaran berkenaan di Instagramnya. Permohonan maaf terbuka yang dibuat oleh Siti turut mendapat pujian ramai, terutamanya dari netizen yang menghargai cara beliau menangani situasi tersebut dengan penuh adab dan profesionalisme. Siti membuktikan bahawa sebagai seorang figura awam, penting untuk menunjukkan contoh yang baik dalam menghadapai sebarang kontroversi, dan lebih utama lagi, untuk bertanggungjawab atas tindakan sendiri.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.