Malang tidak berbau. Barangkali itu ungkapan paling tepat untuk menggambarkan tragedi mengejutkan yang meragut nyawa bekas suami kepada aktres terkenal Bollywood, Karisma Kapoor, iaitu Sunjay Kapur. Lelaki berusia 53 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas tertelan seekor lebah ketika sedang bermain sukan polo di London. Menurut laporan media India Today, sengatan lebah di bahagian tekaknya telah mencetuskan serangan jantung secara tiba-tiba. Walaupun bantuan kecemasan diberikan serta-merta ketika kejadian, nyawa Sunjay tidak dapat diselamatkan.
Insiden tragis itu berlaku sewaktu Sunjay sedang beraksi dalam satu perlawanan polo mewakili pasukannya, Aureus, menentang pasukan lawan, Sujan, yang dimiliki oleh taikun hotel terkenal, Jaisal Singh. Sukan elit yang sepatutnya menjadi acara penuh prestij dan gemilang bertukar menjadi detik cemas dan menyayat hati buat mereka yang menyaksikannya.
Beberapa jam sebelum kejadian, Sunjay sempat memuat naik hantaran di media sosial dengan nada simpati terhadap tragedi nahas pesawat Air India yang menggemparkan dunia. Tidak siapa menyangka bahawa itu akan menjadi antara muat naik terakhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Setakat ini, Karisma Kapoor belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kematian bekas suaminya itu. Sunjay yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya, pernah mendirikan rumah tangga dengan Karisma pada tahun 2003. Namun, hubungan mereka melalui fasa sukar dan penuh kontroversi sebelum sah bercerai pada tahun 2016. Kisah perpisahan mereka menjadi antara yang paling hangat diperkatakan dalam industri hiburan Bollywood pada waktu itu.
Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Samaira, kini berusia 20 tahun dan Kiaan, 14 tahun. Tragedi yang menimpa Sunjay bukan sahaja mencetuskan kesedihan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya, malah turut mengejutkan ramai pihak memandangkan cara pemergiannya yang luar biasa dan sukar dijangka.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.