Kejayaan penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul meraih tempat keempat dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 nyata membanggakan rakyat Malaysia. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menitipkan ucapan tahniah buat penyanyi itu selepas berjaya membawa nama negara ke pentas antarabangsa.
Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar menyifatkan pencapaian Aina dan pasukannya sebagai sesuatu yang wajar dibanggakan.
“Alhamdulillah, tahniah Aina Abdul atas kejayaan meraih tempat keempat dalam Eurovision Asia Song Contest 2026!
“Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian Aina dan pasukan yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Terus terbang tinggi Aina!” tulis beliau.
Aina Abdul Pilih Untuk Kekal Positif
Dalam pada itu, Aina turut berkongsi reaksi ringkas menerusi Instagram Stories dengan menulis, “All is well, Alhamdulillah”.
Walaupun tidak memberikan kenyataan panjang mengenai keputusan pertandingan, ungkapan tersebut seolah-olah menggambarkan penerimaannya terhadap perjalanan yang telah dilalui.
Untuk rekod, Aina mempertaruhkan lagu ciptaannya bersama Mac Chew berjudul Bluest Sky dan berjaya mengumpul 152 mata. Wakil Filipina, Carmelle muncul juara dengan 211 mata, diikuti Thailand dan Vietnam di tempat kedua serta ketiga.
Apa pun, bukan mudah membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. Menang bukan segala-galanya, pengalaman dan pendedahan juga ada nilainya. Jangan pula apabila menang kita puji melangit, apabila tidak bergelar juara terus dipersoalkan!














