Merancang percutian sekarang bukan sekadar mencari tiket kapal terbang murah. Kita juga perlu fikir hotel, pengangkutan, tempat menarik dan aktiviti sepanjang berada di destinasi. Banyak benda nak kena urus, belum masuk bab bajet lagi!
Sebab itu, aplikasi yang boleh menggabungkan pelbagai keperluan perjalanan dalam satu platform semakin relevan. Terbaharu, AirAsia MOVE (MOVE) dinobatkan sebagai Aplikasi Tempahan Pelancongan Terbaik Asia di World Travel Tech Awards 2026 untuk tahun keempat berturut-turut.
AirAsia MOVE Bukan Sekadar Tempah Tiket Penerbangan
Menariknya, MOVE kini bukan lagi sekadar platform untuk menempah penerbangan dan hotel. Aplikasi ini menawarkan pilihan daripada lebih 700 syarikat penerbangan dan lebih sejuta hotel di seluruh dunia.
Pengguna juga boleh menggabungkan tempahan penerbangan dan penginapan menerusi SNAP!, mencari aktiviti pelancongan melalui GetYourGuide serta mendapatkan tiket acara menerusi MOVETIX.
Pendek kata, sebahagian besar urusan percutian boleh dirancang melalui satu aplikasi. Tak perlulah terlalu banyak aplikasi dibuka sampai telefon sendiri pun pening!
Hampir 17 Juta Pengguna Aktif Setiap Bulan
Menurut MOVE, jumlah pengguna aktif bulanan meningkat sebanyak 22 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada hampir 17 juta pengguna. Carian perjalanan dalam aplikasi turut meningkat 14 peratus kepada 33 juta.
Platform itu juga menambah baik proses tempahan dan pembayaran, selain memperkenalkan AskBo, chatbot berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pengalaman pengguna.
Perkembangan ini selari dengan perubahan industri pelancongan yang semakin bergantung pada kemudahan digital. Laporan Travel & Tourism oleh World Travel & Tourism Council (WTTC) turut menunjukkan kepentingan teknologi dalam membentuk pengalaman perjalanan dan menyokong pertumbuhan industri.
Bukan Satu, Tetapi Tiga Pengiktirafan
Ketua Komersial AirAsia MOVE, Chan Kok Ding, berkata kejayaan sebenar platform itu bukan sekadar jumlah tempahan, tetapi juga peluang dan pengalaman yang dapat diwujudkan untuk pelancong serta rakan industri.
Selain anugerah terbaik Asia, MOVE turut memenangi Aplikasi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dan Laman Web Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi 2026.
Bagi anda yang sedang merancang percutian seterusnya, kemudahan memang penting. Namun, jangan lupa bandingkan harga, semak syarat tempahan dan baca polisi pembatalan sebelum membuat bayaran. Travel biar seronok, bukan balik bercuti terus pening tengok baki akaun!












