Dunia muzik tempatan bakal menyaksikan satu kolaborasi menarik apabila penyanyi reggae dan dancehall terkenal, Sasi The Don, bergabung dengan ikon rock negara, Dato’ Awie, menerusi lagu baharu berjudul OH MY KAWAN.
Menariknya, projek ini bukan sekadar menghasilkan sebuah lagu, sebaliknya membawa mesej tentang persahabatan, kebersamaan dan perjalanan hidup yang dikongsi bersama insan tersayang.
Kolaborasi ini turut mendapat kerjasama jenama automotif elektrik, Proton e.MAS, menerusi konsep Friendship Powered by Proton e.MAS.
Sasi The Don Dan Awie Satukan Dua Genre Muzik
Kalau selama ini kita mengenali Sasi The Don dengan muzik reggae dan dancehall, manakala Awie pula cukup sinonim dengan genre rock, kali ini kedua-duanya bergabung dalam satu projek yang cukup berbeza.
Gabungan dua figura dengan identiti muzik tersendiri ini pastinya membuatkan peminat tertanya-tanya bagaimana hasil akhir lagu tersebut.
Lebih menarik, lagu OH MY KAWAN dicetuskan, ditulis, digubah dan diarahkan secara kreatif oleh Sasi The Don sendiri.
OH MY KAWAN Bukan Sekadar Lagu Persahabatan
Menerusi lagu ini, Sasi The Don mahu meraikan nilai persahabatan, semangat kebersamaan serta kenangan sepanjang perjalanan hidup.
Pendek kata, kawan bukan sekadar teman untuk melepak atau berkongsi cerita kosong, tetapi individu yang turut mewarnai kehidupan kita.
Proton e.MAS Turut Jadi Sebahagian Projek
Apa yang menjadikan kolaborasi ini lebih menarik ialah penglibatan Proton e.MAS sebagai rakan kerjasama.
Menerusi konsep Friendship Powered by Proton e.MAS, muzik dijadikan medium untuk menghubungkan jenama, komuniti dan budaya tempatan. Projek ini turut menampilkan sebuah video muzik original.
Majlis pelancaran OH MY KAWAN juga bakal diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, YB Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Jadi, adakah gabungan reggae, dancehall dan rock ini bakal menjadi lagu kegemaran ramai? Kita tunggu sahaja!













