Bila bercakap tentang jodoh, ramai mungkin terus fikir tentang pasangan yang boleh buat kita bahagia. Tetapi bagi pelakon Puteri Sarah Liyana, ada satu lagi perkara yang tidak kurang penting iaitu mencari pasangan yang sekufu.
Menerusi perkongsian di Threads, Puteri Sarah melihat sekufu bukan sekadar mempunyai pekerjaan, kelulusan atau latar belakang yang sama. Sebaliknya, ia lebih kepada keserasian dari segi ilmu, pemikiran, nilai dan cara melihat kehidupan.
Maksudnya, bukanlah kalau seorang doktor, pasangan pun wajib doktor. Kalau tidak, alamatnya makin susah hendak mencari jodoh.
Kisah Tun Dr Mahathir Dan Tun Dr Siti Hasmah
Sebagai contoh, Puteri Sarah mengaitkan pandangannya dengan kisah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Kedua-duanya bertemu ketika menuntut bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Tun Dr Siti Hasmah merupakan satu-satunya wanita Melayu dalam kelompoknya ketika itu dan menamatkan pengajian sebagai doktor pada 1955. Mereka kemudiannya berkahwin pada 1956.
Menariknya, perjalanan Tun Dr Siti Hasmah juga berdiri atas pencapaian beliau sendiri. Pada 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai pegawai perubatan dalam bahagian Kesihatan Ibu dan Anak di Kedah, sebelum menjadi wanita pertama memegang jawatan State Maternal and Child Health Officer pada 1974.
“Grow Together”, Bukan Sekadar Hidup Bersama
Bagi Puteri Sarah, perkahwinan yang bermakna bukan hanya tentang dua individu yang saling mencintai.
Ia juga tentang mempunyai pasangan yang boleh diajak berbincang, bertukar pandangan, menghormati ilmu masing-masing dan terus berkembang bersama.
Sekufu, katanya, bukan bermaksud mesti sama dalam segala hal. Sebaliknya, apabila pemikiran, kematangan, nilai dan keinginan untuk terus belajar berada pada frekuensi yang hampir sama, perjalanan hidup mungkin terasa lebih bermakna.
Sebab akhirnya, hidup berpasangan bukan sekadar tentang “siapa boleh buat saya bahagia?”
Tetapi mungkin juga tentang “siapa yang saya boleh hormati, belajar bersama dan grow bersama?”
Cinta mungkin menjadi permulaan, tetapi rasa hormat terhadap pemikiran pasangan juga boleh menjadi antara perkara yang membuatkan hubungan terus berkembang.













