Nama Diva M mungkin sudah biasa dalam kalangan pengikut media sosial, namun kini beliau tampil dengan identiti baharu sebagai Divo M. Menariknya, perubahan itu bukan sekadar soal nama, sebaliknya membawa mesej tentang peluang kedua dan permulaan hidup yang lebih positif.
Menerusi temu bual eksklusif bersama MURAI, usahawan penjagaan rambut, Mohd Muzakir atau Divo M, berkongsi perjalanan baharunya dengan cukup terbuka. Sepanjang perbualan, beliau dilihat peramah, ceria dan tenang menjawab setiap persoalan. Jelas, perubahan ini sesuatu yang mahu diraikan dengan penuh keyakinan.
Divo M Umum Nama Baharu Di MeleTOP
Semalam, pada 3 November, Divo M membuat pengumuman pertukaran nama daripada Diva M ketika muncul dalam siaran MeleTOP. Pengumuman itu berlaku secara spontan ketika pengacara Namie baru hendak mengajukan soalan pertama.
Mengulas pengalaman pertamanya di MeleTOP, Divo M mengakui suasananya berbeza berbanding siaran langsung yang sering dilakukannya di TikTok.
“Kalau di TikTok, saya sudah biasa buat live dan berinteraksi dengan penonton. Tetapi apabila berada di MeleTOP, suasananya berbeza. Ini pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan untuk saya,” katanya kepada MURAI.
Baginya, penglibatan dalam Gegar Vaganza Fantasia hadir pada waktu tepat untuk memulakan lembaran baharu. Konsep peluang kedua yang diberikan kepada penyanyi untuk kembali ke pentas juga cukup dekat dengan perjalanan hidupnya.
HEADS Professional Bawa Rahsia Rambut WOW!
Selain memperkenalkan identiti baharu, jenama yang diasaskannya, HEADS Professional, turut diumumkan sebagai penaja rasmi dan Rakan Gaya Rambut Gegar Vaganza Fantasia.
Menerusi segmen Rahsia Rambut WOW!, Divo M akan berkongsi tip penggayaan rambut peserta, demonstrasi ringkas serta cara menyesuaikan gaya mengikut keperluan rambut sendiri.
“Saya mahu penonton bukan sekadar tengok gaya rambut peserta di atas pentas, tetapi mereka juga boleh belajar sesuatu. Saya mahu kongsikan tip yang mudah dan boleh dipraktikkan sendiri di rumah,” jelasnya.
Kerjasama ini turut merangkumi sesi penggayaan bersama penonton dan perkongsian penjagaan rambut menerusi TikTok Gempak.
Dari Salun Kampung Ke Peluang Kedua
Minat Divo M terhadap dunia dandanan rambut bermula sejak kecil dengan sokongan ibunya yang mendorong beliau membuka salun pertama di kampung.
“Saya bermula dari bawah dengan membuka salun kecil di kampung. Ibu antara individu yang paling banyak memberikan semangat kepada saya. Kalau bukan kerana sokongan itu, mungkin perjalanan saya tidak sampai ke tahap sekarang,” kongsinya.
Selepas 13 tahun membina perniagaan, beliau kini mengembangkan perniagaan salun dan penjagaan rambut bersama pasukannya.
Lebih membanggakan, kemahirannya turut dimanfaatkan untuk kerja kebajikan termasuk menawarkan khidmat gunting rambut percuma kepada penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras dan Rumah Kasih Harmoni di Paya Jaras.
Menyentuh mengenai perubahan identiti, Divo M menegaskan bahawa beliau tetap menghargai nama yang selama ini memperkenalkannya kepada masyarakat.
“Saya sangat menghargai nama Diva M kerana nama itu yang memperkenalkan saya kepada orang ramai. Tetapi sekarang saya mahu bergerak ke hadapan, memperbaiki diri dan buktikan perubahan melalui apa yang saya lakukan.”
Nampaknya, nama mungkin berubah, tetapi semangat untuk terus bangkit dan memberi manfaat kepada orang lain itulah yang lebih penting.














