Bagi anda yang masih mencari aktiviti menarik untuk mengisi hujung tahun, Astro nampaknya sudah menyediakan sesuatu yang istimewa buat peminat muzik tempatan. Menariknya, bukan satu tetapi dua konsert mega bakal berlangsung pada dua malam berturut-turut di Idea Live Arena, 3 Damansara.
Menerusi Konsert Sooka pada 5 Disember dan Konsert Vaganza pada 6 Disember 2026, peminat berpeluang menikmati persembahan daripada barisan artis popular merentas generasi. Kedua-duanya bermula jam 8 malam.
Konsert Sooka Himpunkan Kugiran Popular
Membuka tirai pada 5 Disember, Konsert Sooka bakal menampilkan Kudrat Boys, The Lantis, Insomniacks, Bunkface dan Kugiran Masdo.
Bayangkan lagu-lagu kegemaran dimainkan secara langsung. Daripada melodi romantik Insomniacks sehinggalah lagu rancak Bunkface, memang susah untuk duduk diam sepanjang persembahan.
Tiket ditawarkan dalam enam kategori iaitu DISTORT (RM128), ATTACK (RM188), MOSH (RM208), GIG (RM258), SOLO (RM288) dan RIFF (RM388), termasuk pilihan tempat duduk serta ruang berdiri.
Konsert Vaganza Bawa Nostalgia Dan Generasi Baharu
Keesokan harinya, pentas diteruskan dengan Konsert Vaganza yang menampilkan Datuk Ziana Zain, Dato’ Ramli MS, Tenxi, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Mimi Fly, Odda, Ratu, Ammara dan ALPHA, selain penampilan khas peserta Gegar Vaganza Fantasia.
Gabungan penyanyi legenda dan bakat baharu ini pastinya memberikan pengalaman berbeza. Boleh dikatakan, ini peluang untuk generasi muda mengenali karya penyanyi terdahulu, manakala peminat lama pula menikmati muzik generasi sekarang.
Sebanyak sembilan kategori tiket ditawarkan pada harga RM188 hingga RM788. Kategori GEGAR turut menyediakan pengalaman Meet & Greet Soundcheck.
Jadi, anda lebih cenderung kepada muzik kugiran atau persembahan penuh nostalgia? Apa pun pilihan, jangan tunggu sehingga tiket habis baru hendak membuat keputusan!
Tiket kini boleh dibeli menerusi Ticketmelon













