Kalau anda rasa festival gaya hidup sekarang semuanya lebih kurang sama, ada muzik, makanan dan jualan, mungkin LahLahLand 2026 boleh ubah persepsi itu.
Festival yang lahir daripada komuniti sneaker ini kembali ke MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pada 10 dan 11 Oktober 2026, tetapi kali ini dengan dunia yang jauh lebih besar.
Daripada sneakers, streetwear, makanan dan muzik, hinggalah permainan video, skateboard, jam tangan, kad dagangan dan komuniti larian, semuanya dikumpulkan dalam satu ruang.
Bagi MURAI, inilah perkara yang menarik tentang LahLahLand. Ia bukan sekadar tempat datang, beli barang dan balik. Sebaliknya, pengunjung boleh datang kerana satu minat, kemudian tersangkut pula dengan komuniti lain. Macam rabbit hole, tetapi versi hujung minggu.
LahLahLand 2026: Sneakers, Ais Kacang Sampai Tekken 8
Segmen SneakerLAH kekal sebagai nadi utama festival ini. Tahun ini, kolaborasi bersama ASICS diteruskan menerusi GEL-KAYANO 20 ‘Ais Kacang’, selepas sebelum ini tampil dengan tema Nasi Lemak, KLCC, Teh Tarik dan Mamee.
Bagi kaki game pula, EsportsLAH membawa kejohanan Tekken 8 dan eFootball Mobile, manakala peminat skateboard boleh melihat aksi pertandingan berpasukan serta Best Trick menerusi SkateLAH.
Kemudian ada WatchesLAH yang diperkenalkan buat kali pertama, menghimpunkan jenama seperti Hamilton, Casio dan Rado bersama penjual jam vintaj.
Kalau kad dagangan lebih dekat dengan jiwa anda, CardsLAH Card Party pula menghimpunkan pengumpul dan peminat TCG.
Muzik, Makanan Dan Komuniti
Bahagian muzik juga bukan calang-calang. ConcertLAH menampilkan Hujan, Dannqrack, Eemrun, Sweetass, Kidd Santhe & Friends serta beberapa nama lain daripada dunia hip-hop, alternatif, rock indie dan elektronik.
Untuk makan pula, MakanLAH dikuasakan oleh Grab Dine Out menawarkan lebih banyak pilihan gerai dan pengalaman pop-up.
MURAI rasa, kalau datang bersama kawan, dua hari mungkin masih tak cukup untuk cuba semuanya.
Turut berlangsung ialah LariLAH menampilkan adidas Hyperrelay, Marketplace bersama SantaiMaa, Influencer Pre-Loved Market, podcast secara langsung, cabutan bertuah serta pelbagai kolaborasi edisi terhad.
Pendek kata, LahLahLand 2026 nampaknya mahu menjadi lebih daripada festival sneakers. Ia cuba mencipta satu ruang yang mempertemukan pelbagai komuniti dan budaya kontemporari Malaysia.
Dan mungkin itu yang paling best, anda datang sebab sneakers, tetapi balik dengan cerita lain.













