Kalau anda rasa tablet sekarang sekadar tempat tengok Netflix, buka TikTok dan sesekali balas e-mel, mungkin sudah tiba masa untuk fikir semula.
Samsung kini memperkenalkan Galaxy Tab S12 Series di Malaysia yang terdiri daripada Galaxy Tab S12 Ultra dan Tab S12+. Fokusnya bukan semata-mata pada skrin besar, tetapi produktiviti, kreativiti dan Galaxy AI.
Paling mencuri perhatian ialah Galaxy Tab S12 Ultra yang mempunyai ketebalan hanya 5.1mm, menjadikannya tablet paling nipis Samsung setakat ini. Ia hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2X berukuran 14.6 inci, manakala Tab S12+ menggunakan skrin 12.6 inci. Kedua-duanya turut disertakan S Pen dalam kotak.
Galaxy Tab S12 Ultra Untuk Kerja Dan Kreativiti
Di sebalik badan nipis itu, Galaxy Tab S12 Ultra menggunakan pemproses 3nm dan menawarkan sehingga 23 jam penggunaan video, sementara Tab S12+ pula sehingga 21 jam. Pengecasan 45W membolehkan bateri dicas semula dalam kira-kira 95 minit.
Menariknya, Samsung bukan sekadar menjual perkakasan. Adobe Photoshop kini hadir secara prapasang buat kali pertama pada tablet Android, dengan akses percuma selama empat bulan untuk pengguna Galaxy Tab S12 Series.
Selain itu, pengguna turut mendapat percubaan enam bulan Google AI Pro, selain aplikasi seperti Notability, Goodnotes, LumaFusion, Notion dan Clip Studio Paint dengan tempoh percubaan atau tawaran berbeza.
Harga Galaxy Tab S12 Series Di Malaysia
Galaxy Tab S12 Series mula dijual 7 Oktober 2026. Harga bermula RM4,999 untuk Tab S12+ WiFi, manakala Tab S12 Ultra WiFi dijual pada RM5,999. Versi 5G masing-masing berharga RM5,649 dan RM6,649.
Jadi, tablet ini memang bukan kategori “beli sebab murah”. Ia lebih kepada mereka yang mahu satu peranti untuk kerja, belajar dan berkarya tanpa perlu sentiasa buka laptop.














