Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memperkenalkan MyBakat sebagai langkah baharu memperkukuh pembangunan bakat tempatan, seiring perubahan ekonomi dan keperluan industri masa hadapan.
Inisiatif itu dilancarkan sempena penganjuran sulung Minggu MyBakat 2026 bertemakan “Bakat Negara, Nadi Malaysia” di Connexion Conference & Event Centre (NEXUS), Bangsar, yang menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta daripada kalangan bakat tempatan, majikan, industri, institusi pendidikan serta agensi kerajaan.
Acara itu turut memperkenalkan Platform Indeks Kesiapsiagaan Bakat Nasional (MyTRI) dan Program Inkubasi MyBakat (MyBIG) bagi membantu mengenal pasti jurang kemahiran serta menyediakan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau yang mengubah landskap pekerjaan.

Menurutnya, Malaysia perlu mengenal pasti lebih awal kemahiran yang bakal diperlukan supaya rakyat tempatan dapat merebut peluang pekerjaan berkualiti.
Sejak ditubuhkan pada 2011, TalentCorp memainkan peranan menghubungkan industri dengan institusi pendidikan dan latihan bagi memastikan pembangunan kemahiran lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja.
Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Puan Elizabeth Wong, berkata pengalaman selama 15 tahun menjadi asas untuk memperkukuh peranan organisasi itu dalam menghubungkan rakyat dengan peluang kerjaya.
Minggu MyBakat 2026 turut menampilkan 65 ruang pameran dan 15 aktiviti, merangkumi perkongsian industri, pembangunan kemahiran, sesi bimbingan serta peluang berinteraksi secara langsung dengan majikan.
Acara ini bakal diteruskan sebagai program tahunan TalentCorp bagi membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran dan bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai platform MyTRI, layari www.mytri.my.












