Kadang-kadang, cerita yang tersebar di media sosial boleh jadi lebih hebat daripada skrip drama. Namun, apabila nama individu yang sudah meninggal dunia turut dipetik, di manakah batas antara gosip dan fitnah?
Pelakon Datin Sri Zizie Izette Abdul Samad atau lebih dikenali sebagai Zizie Izette meluahkan rasa kesal selepas membaca pelbagai cerita mengenai dirinya dan arwah suaminya yang didakwa tidak tepat, termasuk dakwaan berkaitan kekayaan bernilai berbilion-bilion.
Menerusi Threads, Zizie mengakui ada kalanya dia sendiri terhibur membaca cerita mengenai dirinya. Namun, dia turut menyindir individu yang seolah-olah lebih mengetahui kehidupan mereka berbanding tuan badan sendiri.
Zizie Izette Minta Bukti, Jangan Sebar Fitnah Tentang Arwah Suami
Dalam perkongsiannya, Zizie mencabar pihak yang membuat dakwaan sedemikian supaya mengemukakan bukti, bukannya sekadar memetik nama arwah dan menyebarkan cerita sesuka hati.
“Billion-billion katanya. Kalau betul, silakan tunjuk bukti,” tulisnya.
Zizie turut mengingatkan orang ramai supaya tidak keterlaluan ketika bergosip, lebih-lebih lagi apabila individu yang diperkatakan sudah tiada untuk mempertahankan diri.
“Arwah dah tak ada nak pertahankan diri,” katanya sambil mengajak orang ramai memperbanyakkan istighfar dan mengingatkan tentang tanggungjawab menjawab perbuatan fitnah di akhirat kelak.

Bergosip Boleh, Tetapi Jangan Sampai Menjadi Fitnah
Dalam dunia media sosial, sesuatu dakwaan boleh tersebar luas hanya dengan beberapa kali perkongsian. Namun, populariti sesuatu cerita tidak bermakna ia benar.
Malah, prinsip menyemak maklumat sebelum menyebarkannya turut ditekankan oleh platform semakan fakta seperti Sebenarnya.my, yang membantu orang ramai menilai kesahihan sesuatu dakwaan.
Bagi MURAI, bergosip mungkin dianggap hiburan bagi sesetengah pihak. Tetapi apabila melibatkan maruah seseorang, apatah lagi insan yang sudah meninggal dunia, kita perlu tahu batasnya.
Jangan sampai seronok bercerita, akhirnya diri sendiri pula perlu menjawabnya.












