Selepas mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu, pelakon yang semakin popular Ikmal Amry,26 mengumumkan tarikh perkahwinannya bersama pengamal media sosial , Najla Samshul.
Kahwin 19 Disember Ini
Menurut Ikmal kepada Murai.my, mereka akan mendirikan rumah tangga pada 19 Disember depan dan sedang giat membuat persiapan perkahwinan. Dedah pemilik nama sebenar Mohd Zulikmal Amry Ghazali ini lagi, mereka bakal adakan dua majlis perkahwinan dan segala persiapan sehingga kini berjalan dengan lancar.
“Kami akan adakan dua majlis sahaja, satu di Kuala Pilah pada 19 Disember di kampung Najla dan di sebelah saya akan diadakan di Subang Jaya pada 27 Disember nanti. Setakat ini persiapan sudah berjalan dan Najla banyak membantu saya disebabkan saya sedikit sibuk dengan kerja.
“Untuk saya sendiri, saya lebih mempersiapkan diri daripada segi rohani, bagaimana untuk menjadi suami yang baik sebab bukan satu perkara yang mudah untuk jaga anak orang. Saya banyak minta nasihat daripada kawan-kawan yang sudah berkahwin dan bertanya sendiri pengalaman mereka,” katanya
Ketika ditanya mengenai soal populariti berkemungkinan akan jatuh selepas berkahwin, Ikmal mendedahkan tidak risau mengenainya dan yakin dengan rezeki yang ditentukan apatah lagi niatnya yang baik untuk mendirikan rumahtangga.
“Sejujurnya nama saya naik sebab saya nak kahwin. Lepas saya beritahu dah bertunang, banyak produksi panggil saya berlakon dan Alhamdulillah bulan Oktober ini saya akan jalani penggambaran untuk dua buah filem.
“Saya tidak risau sekiranya populariti merudum lepas dah kahwin kerana saya percaya rezeki semua datang daripada Allah. Lagi kita nak kahwin, lagilah Dia bagi sebab kita nak buat benda yang baik,” ujarnya lagi.
Jumlah ‘Followers’ Instagram Jatuh
Bagaimanapun, Ikmal akui jumlah pengikutnya di laman Instagram turun dengan mendadak sejak dia mengumumkan sudah bertunang pada bulan Mei lalu malah sebaliknya bagi Najla pula, semakin dikenali ramai.
“Saya ada isu sedikit dengan peminat di mana ada dua golongan peminat yang mana satu, mereka berasa sangat gembira yang saya nak kahwin dan ada satu lagi golongan peminat yang boleh saya katakan sedikit obses kerana mereka tidak mahu melihat saya mendirikan rumah tangga.
“Ada yang DM kata mereka sedih dan patah hati bila tahu saya nak kahwin. Yang marah saya nak berkahwin pun ada. Disebabkan hal itu, saya nampak jumlah pengikut di Instagram semakin menurun pada setiap hari.
“Saya percaya mereka terlalu obses dengan watak Ray yang dilakonkan saya dalam drama bersiri Gantung sebab itu mereka halang saya untuk berkahwin.
“Tapi saya balas balik dengan mereka, Randy Pangalila boleh kahwin, kenapa saya tak boleh berkahwin,” katanya sambil berseloroh
Ikmal ditemui Murai.my baru-baru ini pada majlis pengenalan artis menandatangani kontrak perjanjian di bawah naungan syarikat pengurusan Absolut Talents & Management di Connexion Bangsar. Selain Ikmal, Najla turut bernaung di bawah syarikat ini bersama dengan 8 lagi selebriti popular tanah air.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.