Tidak semua jenis senaman boleh dilakukan tanpa mengambil kira keadaan fizikal dan keupayaan diri sendiri. Apatah lagi apabila usia sudah mencecah 40-an. Didalam usia yang sebegini, ukuran pembuluh darah sudah mulai mengecil akibat daripada proses semulajadi degeneratif. Tabiat pemakanan yang tidak sihat juga dapat mengecilkan sel pembuluh darah di dalam tubuh.
Namun, itu bukanlah alasan yang boleh menjadi punca untuk anda tidak bersenam. Anda tetap perlu meneruskan aktiviti berolahraga walaupun usia anda sudahpun mencapai ‘usia emas’. Disini, kami di Murai.My akan menyenaraikan beberapa tip untuk anda yang berusia 40-an dalam rutin senaman seharian. Jom kita tengok!
Tanamkan Semangat
Perkara pertama yang perlu anda ambil kira adalah bentuk pola pemikiran anda. Tanamkan semangat dan motivasi untuk bersenam. Berikan komitmen pada diri anda sendiri untuk bersenam bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat dan lebih bertenaga.
Panaskan Badan Sebelum Bersenam
Jangan mengambil mudah kepentingan latihan pemanasan badan. Pemanasan badan atau ‘warm up’ sebelum bersenam adalah amat penting untuk menghindari dari pelbagai kemungkinan kecederaan otot ketika melakukan pergerakan semasa berolahraga.
Pilih Senaman Ringan
Mulakan bersenam dengan senaman yang lebih ringan. Ini adalah untuk membiasakan otot-otot dan sendi anda dalam pergerakan secara bertahap.
Tambah Intensiti
Bagi yang berkemampuan, tambahkan intensiti latihan senaman kepada yang lebih berat sedikit. Perlu juga diingat, pilihan latihan olahraga perlu sesuai dengan kadar kemampuan tubuh badan. Elakkan pergerakan yang keterlaluan kerana di usia sebegini, otot tubuh tidak mampu menampung pergerakan yang melampau. Jangan terlalu taksub menginginkan tubuh yang sihat tetapi akhirnya diri sendiri yang merana.
Latihan Kardio Untuk Menggerakkan Keseluruhan Otot
Memilih satu latihan kardio yang dapat menggerakkan keseluruhan otot tubuh adalah lebih baik daripada melakukan banyak latihan kardio untuk pergerakan otot yang berlainan. Lakukan beberapa kali dalam seminggu. Banyak manfaat yang dapat diperolehi daripada latihan ini. Antaranya adalah latihan kardio dapat menguatkan fungsi jantung dan paru-paru seperti berjalan di atas treadmill, tambahkan kelajuannya secara bertahap dan mengikut kemampuan diri. Nikmatinya secara santai dan jangan terlalu memaksa diri.
Tidak Perlu Bersenam Setiap Hari
Di usia sebegini, tubuh badan memerlukan lebih banyak masa untuk beristirehat. Jadi, amalkan senaman sekurang-kurang hanya 2 atau 3 kali dalam seminggu. Pastikan anda juga mendapat tidur yang cukup iaitu sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam dalam sehari.
Minum Banyak Air
Anda juga perlu mengimbangkan rutin minum seharian anda. Amalkan minum air putih sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas setiap hari. Ini bagi memenuhi keperluan cairan dalam tubuh badan.
Pengambilan Vitamin
Tidak dilupakan ialah pengambilan vitamin di dalam rutin seharian anda. Selain vitamin, amalkan juga pengambilan suplemen lain bagi memenuhi keperluan zat dan nutrisi yang tidak dapat dipenuhi hanya melalui pemakanan. Ini sangat penting kerana di usia 40 tahun, tubuh kurang menghasilkan hormon testosteron. Jadi, kita perlulah menjaganya dengan pengambilan vitamin dan suplemen yang sesuai untuk tubuh badan anda.
Antara faktor yang paling penting pada usia 40-an selain senaman ringan adalah keperluan pemakanan seharian. Penuhilah keperluan makan anda dengan sempurna kerana sekiranya ia tidak dijaga, tubuh badan tidak akan dapat menghasilkan otot yang lebih kuat dan tidak bertenaga. Badan akan mudah mendapat penyakit dan tidak sihat.
Semoga dengan perkongsian ini, anda dapat menjaga kesihatan tubuh badan dan pola pemakanan dengan baik walaupun usia anda sudah mencecah 40-an.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.