Pada pagi Ahad, industri hiburan dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran, Toh Puan Julie Faridah yang meninggal dunia di Hospital Pantai,Ipoh, Perak.
Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Virus
Allahyarhamah Julie Faridah @Joria Basir,77 meninggal dunia kira-kira jam 1.37 pagi dipercayai akibat jangkitan virus. Difahamkan, sebelum ini beliau terlebih dahulu dimasukkan ke hospital selama dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Ahad.
Sepanjang hayatnya, pelbagai kenangan dan fakta menarik mengenai figura ini yang terkenal menerusi filem lakonannya bersama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Keluarga 69.
Malah siapa sangka, Allahyarhamah menemui Ilahi empat hari selepas 48 tahun tarikh Allahyarham P.Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1978. Nama Julie Faridah juga diberikan oleh lagenda filem Melayu itu apabila mendapati nama Joria tidak popular, sama seperti yang dibuat Allahyarham kepada Rose Yatimah yang ditukarkan namanya dari Rosnah ke Rose Yatimah.
Berbesan Dengan Raja Perlis
Dikurniakan tiga orang anak seorang lelaki, Dato Paduka Mohammad Yaakob dan dua orang perempuan, Aini Faridah dan Aziah Jasmin. Anak lelakinya itu juga merupakan menantu kepada Raja Perlis Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Yaakob telah berkahwin dengan anakanda bongsu Tuanku Raja Perlis, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza Binti Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin.
Anak Bekas Penyampai Berita
https://www.instagram.com/p/CPhh_gytq9n/
Malah, salah seorang anak perempuannya, Aziah Jasmin merupakan bekas pengacara dan penyampai berita di stesen TV3 suatu ketika dahulu. Pelakon veteran yang popular menerusi filem Dayang Senandung dan Enam Jahanam, Seniwati Datin Noor Azizah pula merupakan anak tirinya.
Mengenai penglibatan seni Julie, beliau membuat keputusan untuk berundur dari ‘industri’ selepas mengikuti arwah suaminya, Datuk Seri Azizul Hassan yang bekerja sebagai pegawai kanan polis suatu ketika dahulu. Memetik blog filem klasik Malaysia, lakonan Julie dalam filem Keluarga 69 juga berlaku secara tidak sengaja dan ketika itu juga dia sedang mengandungkan anak keduanya. Julie juga pernah bergelar Miss Pahang dan Miss Malaysia sekitar tahun 1963 dan 1964. Salam takziah buat keluarga Toh Puan Julie Faridah dari kami di Murai.my. Al-Fatihah.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.