Kartunis yang terkenal dengan karya ‘Blues Untuk Aku’, Saari Sulong, 48, atau lebih dikenali sebagai Aie dilaporkan telah meninggal dunia kira-kira pukul 4.00 pagi tadi.
Akibat Komplikasi Buah Pinggang
Menerusi hantaran sahabatnya yang juga kartunis, Ujang atau Ibrahim Anon di laman Facebook,Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi buah pinggang.
Imbas kembali kenangan Blues Untuk Aku, karya bersiri tersebut begitu popular era 90-an biarpun ia bukanlah berpaksikan genre komedi seperti komik dan kartun yang lain.
Voice-Over Bagi Watak Singh Dalam Usop Sontorian
Buat yang tidak tahu, Allahyarham Aie juga merupakan individu di sebalik suara Singh dan Arba bagi animasi Usop Sontorian suatu ketika dahulu.
Sepanjang hayatnya, Aie bukan sahaja bergelar kartunis, malah pelbagai ‘portfolio’ lain turut tersemat bersamanya. Antaranya Allahyarham juga merupakan Ketua Studio, Penolong Ketua Kartunis, Ketua Unit Ilustrasi dan Pengarah Seni di beberapa syarikat penerbitan tanah air yang menerbitkan majalah Jenakarama, Majalah Kartun Disney ‘Mickey” (edisi bahasa melayu), Ujang, Starz, Utopia, G3, Jom, Boboi dan Gila-Gila.
Blues Untuk Aku kini tinggal kenangan, terima kasih atas karya yang mewarnai era 90-an. Al-Fatihah, salam takziah buat keluarga Allahyarham dari kami di Murai.my.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.