Seiring dengan tema Syukurnya Syawal, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi tiga saluran utama TV2, TV2, dan TV Okey meraikan lebaran ini denngan program berbentuk keagamaan, telefilem, drama bersiri, dokumentari majalah dan hiburan khas untuk tontonan seisi keluarga.
Syukurnya Syawal dimulakan dengan siaran langsung ‘Gema Takbir 2022’ pada malam raya yang memaparkan topik sambutan raya dari sudut pandangan Islam bersama-sama tetamu undangan khas dan diselangi dengan takbir dan nasyid raya. Pada 1 Syawal TV1 akan menyiarkan ‘Siaran Langsung Solat Sunat Aidilfitri’ dari
Masjid Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri serta barisan pemimpin.
Selain itu, RTM turut menerbitkan pelbagai program istimewa bagi memenuhi kehendak penonton menerusi rancangan terbitan Unit Hiburan TV RTM antaranya ‘Borak Raya’, ‘Raya Sakan’, dan ‘Konsert Minggu Ini Dato’ Sri Siti Nurhaliza’ yang merupakan konsert pertama oleh pemilik gelaran Juara Bintang HMI 1995 selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara. Konsert ini bakal mengimbau perjalanan karier Dato’ Sri Siti Nurhaliza bersama RTM di samping mengubat kerinduan peminat yang menantikan persembahan penuh beliau.
Sementara itu Unit Drama TV RTM menerbitkan drama khas raya ‘Hajat Nak Buat Lagu Raya’ dan sitkom ‘Apartmen Putra’ manakala Unit Majalah dan Dokumentari RTM tampil dengan dokumentari khas yang akan disiarkan pada malam raya iaitu ‘Rewang Raya’ memaparkan kemeriahan keluarga Tok Sidang lakonan Kazar Saisi
beraya di kampung setelah dua tahun tidak beraya bersama akibat COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Slot Panggung Syawal pula diisi dengan kisah masyarakat dalam drama ‘Pak Su’, ‘Ramona Bertanding Ketua Kampung’, ‘Afghan’, dan ‘Demi Cintaku Zainuddin’. Drama rantaian mengisi slot Widuri tampil dengan gandingan pelakon Redza Rosli dan Rita Nadira bertajuk ‘Juliet’ manakala slot Bidadari dengan tajuk ‘Sembang Jarak Jauh’ yang membariskan pelakon Didie Alias, Amyza Aznan, Didi Astilah, Nafiz Muaz dan Zalif Sidek.
Sementara itu, bakal menarik tumpuan juga drama bersiri ‘PA Lelaki Kerek’ yang dibintangi oleh Johan As’ari, Jasmine Suraya, Syafie Naswip, dan Wan Sharmila. Telefilem eksklusif lebaran turut menanti dengan tajuk ‘Raya 3 Rasa’, ‘Sabotaj Raya’, ‘Pulut Kuning Sushi Salmon’, ‘#SiapCepat’, ‘Air Tangan Teruna’, ‘Jangan Curi Hati Saya’, ‘Pai Kuasa Dua’, ‘Kau Bukan Hakimku’, ‘Ketika Takbir Bergema’, ‘Ampun’ dan ‘Tapai Pulut Opah’.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.