Sebelum ini kami ada mengeluarkan sebuah artikel buka kotak atau unboxing, telefon pintar lipat terbaru dari SAMSUNG iaitu Galaxy Z Flip4. Sedar atau tidak, sudah setahun rupanya usia siri pendahulunya iaitu Z Flip3. MURAI berkesempatan membuat review, Z Flip 3 pada tahun lepas, boleh rujuk artikel di bawah.
[REVIEW] 6 Persoalan Yang Telah Terjawab Mengenai Galaxy Z Flip3 5G
Selepas setahun, MURAI di beri kesempatan lagi untuk membuat review siri terbarunya iaitu Z Flip4 yang hadir dengan beberapa kemas kini menarik. Perkara pertama yang boleh kami boleh katakan selepas Z Flip4 berada di tapak tangan kami, bodi-nya macam lebih langsing apabila dibuka dan ditutup.
Ketahanan Z Flip4 juga dipertingkatkan dengan perlindungan Gorilla Glass Victus+. Satu lagi penambahbaikan juga terdapat pada chipset, di mana Samsung menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1 digabungkan dengan 8GB RAM. Satu lagi peningkatan yang dibawa adalah dari segi bateri, di mana Galaxy Z Flip 4 5G disokong bateri 3, 700mAh dan Galaxy Z Flip3 hanya 3,300mAh.
Kapasiti bateri yang meningkat ini menjadikan Z Flip4 boleh bertahan lebih lama. Selain itu, pengecasan lebih pantas dengan ciri Pengecasan Super Pantas. Jadi, bagaimana pula pengalaman kami menggunakan Z Flip4 ? jom tengok review ini.
Reka Bentuk
Bercakap mengenai reka bentuk, bagi kami Z Flip4 dan Z Flip3 seolah-olah tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Sekali pandang macam sama! Tapi sekiranya melihat lebih dekat, Samsung telah memotong sedikit bezel pada Z Flip4. Selain itu, kami juga perasan Samsung juga telah membuat perubahan pada bahagian tepi Z Flip4 yang lebih segi empat sama dan sekata, manakala pada Z Flip3 bahagian tepinya lebih bulat.
Harus ingat, Z Flip4 tidak mempunyai port audio 3.5mm, Samsung hanya ada satu port iaitu USB Type C. Semua butang diletakkan di sebelah kanan telefon pintar, kedua-dua butang kelantangan dan kuasa yang juga boleh digunakan sebagai pengimbas cap jari. Samsung hanya menyertakan slot kad SIM di sebelah kanan telefon, yang boleh dibuka dengan ejektor. Dari segi engsel, Galaxy Z Flip 4 5G juga mempunyai engsel yang lebih tipis.
Kamera
Beralih kepada kualiti kamera, Z Flip4 disokong oleh dua kamera, iaitu lensa utama Dual Pixel OIS 12MP dan lensa ultra wide 12MP dengan jangkauan 123 darjah. Sementara itu, keperluan swafoto dipenuhi dengan kamera pada skrin yang mempunyai resolusi 10MP. Namun begitu, Samsung menaik taraf sensor kamera dan menambah baik cipset AI pada Z Flip4 supaya ia boleh menghasilkan foto malam yang lebih terperinci dan dramatik.
Samsung mendakwa, untuk mengambil foto pada waktu malam, ia menambah baik ciri Super Night Resolution, OIS dan VDIS yang menghasilkan imej yang lebih tajam, stabil dan lebih jelas dalam keadaan cahaya malap.
Sokongan AI Stereo Depth juga memastikan pengguna boleh mengambil gambar dengan warna yang terang walaupun keadaan cahaya tidak banyak.
Berdasarkan ujian, ketika mengambil gambar pada waktu malam, kamera Z Flip4 sememangnya mampu mengambil gambar dengan baik. Ini membuktikan Z Flip4 bukan sahaja cantik dari segi reka bentuk tapi bagus untuk fotografi.
Skrin/ Layar
Z Flip4 ini dilengkapi dengan skrin utama 2X Dynamic AMOLED 6.7-inci – skrin yang mempunyai kemampuan Adaptive Refresh Rate mulai dari 1-120 Hz. Ciri skrin AMOLED pada Z Flip4 ini cukup berguna lagi-lagi pada waktu siang masih boleh melihat skrin peranti tanpa sebarang gangguan.
Selain itu, Z Flip4 ini juga mempunyai penutup Super AMOLED 1.9 inci dengan resolusi 512 x 260 piksel. Permudahkan kami dengan hanya melihat skrin muka depan, mereka boleh mengetahui maklumat tentang masa, peratusan bateri, tarikh, pemberitahuan terkini, malah boleh mengambil swafoto menggunakan kamera utama sahaja.
Prestasi
Z Flip4 dikuasakan oleh cipset Snapdragon 8+ Gen 1 yang digabungkan dengan 8GB RAM. Ini menjadikan prestasi peranti, terutamanya apabila mengakses dan bertukar daripada satu aplikasi ke aplikasi lain, sangat lancar dan tanpa gangguan.
Antara yang menarik perhatian kami pada Z Flip4 ialah ciri FlexCam. Mod tangkapan video ini seperti merakam dengan handycam. Ini sesuai untuk anda yang ingin merakam video seperti vlog.
Samsung juga telah menambahbaikkan ciri Mod Flex supaya penggunaannya lebih optimum. Salah satu keupayaan baharu ialah TouchPad. Jadi apabila skrin dilipat separuh, di bahagian atas ia akan memaparkan aplikasi manakala di bahagian bawah terdapat kawasan kawalan seperti trackpad pada komputer riba.
Kita boleh menavigasi menggunakan kursor sama seperti menggunakan komputer riba.
Bateri
Mungkin sebelum ini, ramai yang merungut dengan dengan ketahanan bateri 3,300 mAh pada Galaxy Z Flip 3, namun kali ini Samsung meningkatkan hayat bateri Galaxy Z Flip4 kepada 3,700 mAh.
Kapasiti bateri yang besar disertakan dengan keupayaan pengecasan pantas 25W. Dan disokong oleh prestasi pemproses Snapdragon 8+ Gen 1, Galaxy Z Flip4 didakwa 30% lebih cekap kuasa. Melihat kelajuan pengecasan, Galaxy Z Flip4 telah diuji 50% penuh dalam masa 30 minit.
Harga
Galaxy Z Flip 4 5G menawarkan beberapa warna, seperti Bora Purple, Graphite, Pink Gold, dan Blue – pada harga RM4,099 (8GB/128GB). Mulai 2 September dan seterusnya, nikmati hadiah eksklusif bernilai sehingga RM1,398 apabila anda membeli Galaxy Z Flip4 atau Galaxy Z Fold4 (klik pautan). Sebagai alternatif, tukar beli dan miliki Siri Galaxy Z pada harga serendah RM1,969.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.