Suami pelakon Miera Leyana, Rosland Othman, 50, selaku plaintif tetap meneruskan tuntutan kes nusyuz yang difailkannya terhadap bekas isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib, 50, walaupun sudah sah bercerai pada 3 Ogos lalu.
Menurut sumber berita, perbicaraan kes nusyuz itu akan disambung pada tarikh 21 dan 26 September depan untuk Adibah memberi keterangan balas selepas keputusan dibuat hakim, Abdul Fattah Kamaruddin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Peguam mewakili Adibah, Junid Ramali ditemui berkata, tuntutan kes nusyuz berkenaan sudah berlanjutan lebih setahun selepas difailkan Rosland terhadap anak guamnya, Adibah pada Disember 2021 lalu.
“Kami di pihak pembelaan yang mewakili Adibah selaku defendan sedaya upaya cuba mendapatkan keadilan untuknya walaupun pasangan sudah bercerai dan plaintif tetap meneruskan tuntutan kes ini.
“Cuma, pada perbicaraan hari ini kami hanya sempat serahkan dokumentasi sokongan termasuk menjawab beberapa isu bantahan dan melengkapkan keterangan daripada defendan,” katanya.
Ditanya juga sama ada pihaknya pernah membuat perbincangan dengan plaintif untuk selesaikan kes secara baik di luar mahkamah, Junid berkata, tentulah ada dan ia masih berterusan sampai sekarang.
“Kes ini sudah lama dan pasangan pun sudah bercerai. Jadi, saya sebagai peguam termasuk juga peguam pihak sana (plaintif), tetap berusaha kalau ada ruang untuk berbincang bagi diselesaikan secara baik.
“Apapun, plaintif (Rosland) tetap berhak meneruskan kes tuntutan ini atas alasan dan sebabnya yang tersendiri. Namun, pihak saya yang mewakili defendan (Adibah) akan buat kerja kita untuk menjawab dan membela diri bagi mengenepikan permohonan ini,” katanya.
Difahamkan, Rosland memfailkan tindakan nusyuz terhadap Adibah ketika mereka masih bergelar suami isteri atas faktor alasan ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin ketika keluar dari rumah.
Terdahulu, Adibah sah diceraikan talak satu oleh Rosland yang juga ahli perniagaan di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada awal Ogos lalu.
Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.
Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana pada Julai 2020 lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.