Penyanyi Aina Abdul masih menyimpan hasrat untuk mencuba nasib dalam program America’s Got Talent (AGT) selepas pernah terlepas peluang menyertainya sebelum ini.
Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, dia tidak menolak untuk bertanding sekiranya mendapat peluang itu lagi pada masa hadapan.
“Saya teringin nak masuk pertandingan seperti itulah. Dulu saya pernah dapat tawaran, tapi ketika itu saya terikat dengan satu komitmen yang lain.
“Sudah lama, pada 2014. Saya dapat tawaran cuba America’s Got Talent. Insya Allah mungkin ada rezeki. Saya pun teringin dan okay saja menyertainya,” katanya.
Penyanyi Terus Hidup itu berkata dia juga memang mengikuti program terbabit dan menyokong padu penyanyi Indonesia, Putri Ariani yang bertanding di AGT musim baharu.
“Saya pun menonton juga AGT. Saya juga memang antara peminat Putri Ariani. Saya berharap dia akan memenangi pertandingan itulah. Peserta berhijab pertama jadi pemenang,” katanya.
Terdahulu, Putri berjaya mencetuskan fenomena mendapat Golden Buzzer selain mendapat tepukan berdiri untuk persembahannya di peringkat separuh akhir.
Pencapaiannya itu sangat membanggakan ramai terutama rakyat sekitar Asia Tenggara. Ada segelintir peminat Malaysia turut menyarankan Aina turut mencuba nasib dalam program itu.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.