Penyanyi terkenal, Shila Amzah, menasihati golongan ibu bapa agar tidak hidup dalam penafian sekiranya anak mereka menunjukkan simptom autisme.
Shila, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, berkata bahawa beliau menerima banyak soalan berkaitan isu ini dan meminta agar ibu bapa tidak merahsiakan sebarang maklumat daripada doktor.
“Kalau ada soalan lain, saya sarankan anda untuk terus berjumpa dengan doktor kanak-kanak di swasta atau kerajaan termasuk klinik kesihatan,” ujar Shila melalui Instagram semalam.
“Apabila doktor tanya, ibu bapa kena beri jawapan yang jujur tentang simptom dan ciri-ciri autisme yang anak-anak ada supaya mereka boleh buat pemeriksaan.”
Shila menekankan kepentingan ibu bapa untuk tidak menafikan ciri-ciri autisme pada anak mereka.
“Kalau ibu bapa yang sudah nampak ciri-ciri autisme, boleh cari dekat Internet tentang pendedahan mengenai autisme. Dari situ anda boleh tahu dan jangan menafikannya,” tambahnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu “Patah Seribu” itu meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas doa dan kata-kata semangat yang diberikan oleh orang ramai terhadap keluarganya.
“Saya mungkin kelihatan tenang tapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Ini tanggungjawab saya dan suami, Ubai sebagai ibu bapa. Kami berdua perlu menjadi kuat untuk anak-anak,” jelas Shila.
Beberapa hari lalu, Shila mengesahkan bahawa anak lelakinya, Seth Uwais, hasil perkahwinan pertama dengan Haris Idraki Elias, adalah seorang kanak-kanak autisme selepas menjalani beberapa pemeriksaan.
Untuk rekod, Shila dan suami, Ubai MZ, telah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Rhea Akira, pada 9 Mei lalu. Sebelum ini, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias namun bercerai pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun bersama.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.