Penyanyi dan pelakon Nabila Razali, yang kini sedang hamil anak pertama, bersyukur kerana tidak mengalami alahan atau mengidam perkara aneh sepanjang kehamilannya.
Masuk ke trimester kedua, Nabila, atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd. Razali, 32, mengakui dia menantikan momen mengidam yang sering dialami oleh bakal ibu lain.
Menurut sumber, Nabila berkongsi, “Setakat ini saya tidak mengalami rasa mengidam yang pelik-pelik. Cuma teringin nak makan burger Ramly dan kek. Tapi semuanya mengidam benda yang mudah.”
Dia juga menyatakan keinginannya untuk mengidam perkara pelik seperti bau tayar, tetapi hingga kini, semuanya belum berlaku.
Nabila menjelaskan keputusan untuk mengumumkan berita kehamilan ini mengambil masa kerana mengikuti nasihat golongan berusia yang menyarankan agar berita itu disimpan seketika.
Dia mengumumkan kehamilannya selepas ramai pihak mula mempersoalkan perubahan bentuk badannya. “Saya rasa lebih baik begitu dan disebabkan itu saya umumkan kehamilan itu pada awal Oktober lalu,” katanya.
Ketika ditanya tentang persiapan menyambut kelahiran cahaya mata pertama, Nabila mengakui bahawa jadual kerjanya yang padat membuatkan dia belum sempat membuat persiapan sepenuhnya.
“Saya masih lagi aktif bekerja. Cukuplah sekadar benda-benda yang penting dahulu. Mungkin akan membeli keperluan bayi secara atas talian atau persiapan pada saat-saat akhir,” ujarnya.
Walaupun teringin untuk ke luar negara membeli barangan bayi, Nabila memahami bahawa masa tidak mengizinkan.
“Tak mengapalah, boleh beli secara online juga, tak jadi masalah,” tambahnya dengan optimis.
Nabila mengumumkan kehamilan anak sulungnya yang dijangka dilahirkan pada awal Januari depan, selepas berkahwin dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November tahun lalu dalam majlis tertutup yang meriah.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.