Penyanyi berbakat Shila Amzah, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 34, telah mengambil langkah berani untuk berdepan dengan trauma lamanya yang menghantui selama lebih sedekad.
Dalam satu hantaran di Instagram, Shila berkongsi bahawa dia memilih Pulau Pinang sebagai destinasi percutian bersama suami, Ubai, dan keluarganya, dengan harapan untuk mencipta memori baru yang indah di tempat yang pernah membawa episod gelap dalam hidupnya.
“Pulau Pinang membuatkan saya rasa trauma. Ada beberapa insiden yang berlaku di sini yang menghantui dan tidak boleh saya lupakan. Sudah lebih 10 tahun saya cuba untuk atasi,” ujar Shila, yang mengakui rasa takutnya ketika berada di lokasi tersebut. Namun, dia bertekad untuk menakluk ketakutannya itu dengan ditemani suami tercinta.
Dalam hantaran yang sama, Shila tidak memberikan butiran lanjut mengenai trauma yang dialaminya, tetapi mencuri perhatian netizen dengan melampirkan gambar wajahnya yang menunjukkan mata bengkak dan lebam. Tanpa memberi penjelasan mendalam, dia hanya meninggalkan emoji senyum, menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan peminatnya.
Meskipun terpaksa berhadapan dengan situasi mencabar, Shila tetap mengekalkan sikap positif. Dia turut berkongsi ragam anak perempuannya, Rhea Akira, yang sedang mengalami proses tumbuh gigi dan tidak henti-henti menangis. “Saya tidak mahu hilang kawalan di depan anak-anak kerana itu akan membuatkan mereka trauma,” tambahnya.
Shila, yang mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 5 Ogos 2023, memiliki seorang anak perempuan, Rhea, yang dilahirkan pada Mei lalu, serta seorang anak lelaki, Seth Uwais, dari perkahwinan terdahulu.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.